Rosey beri laluan? Bekenu menanti calon baharu GPS

Facebook
WhatsApp
FOTO janaan AI.

BEKENU, 25 November: Persoalan mengenai siapa bakal menjadi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 semakin hangat diperkatakan, khususnya apabila timbul khabar angin bahawa penyandangnya, Datuk Rosey Yunus, dikatakan bakal memberi laluan kepada muka baharu.

Bagaimanapun, segala spekulasi itu hanya akan terjawab menerusi pengumuman rasmi senarai calon GPS oleh Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, ia pastinya menandakan satu perkembangan penting dalam landskap politik Bekenu, memandangkan Rosey merupakan antara wakil rakyat yang telah lama berkhidmat dan mempertahankan kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut.

Rosey, 70, yang juga bekas pengetua sekolah dan masih menyandang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, mula melangkah ke arena politik pada 2006.

Beliau merupakan antara calon pilihan khas Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang ketika itu memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Sejak kemunculan pertamanya dalam pilihan raya negeri pada 2006, Rosey berjaya mengekalkan kepercayaan pengundi menerusi empat kemenangan berturut-turut, sekali gus membina rekod politik yang cukup kukuh di kawasan Bekenu.

Empat Penggal, Empat Kemenangan

Rekod perjalanan politik Rosey bermula pada PRN ke-9 tahun 2006 apabila beliau bertanding atas tiket BN-SPDP bagi kerusi N.61 Bekenu dan memenangi pilihan raya dengan memperoleh 4,357 undi, bersamaan 77.2 peratus daripada jumlah undi.

Pada PRN ke-10 tahun 2011, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi N.61 Bekenu atas tiket BN-SPDP dengan memperoleh 4,946 undi atau 70.3 peratus.

Perubahan landskap pilihan raya berlaku pada PRN ke-11 tahun 2016 susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menyaksikan kod kerusi Bekenu berubah daripada N.61 kepada N.71.

Rosey ketika itu bertanding sebagai calon langsung BN dan sekali lagi memperoleh kemenangan dengan 6,009 undi atau 71.7 peratus.

Kemenangan keempat menyusul pada PRN ke-12 tahun 2021 apabila beliau bertanding atas tiket GPS-PBB dan berjaya mengekalkan kerusi N.71 Bekenu dengan memperoleh 6,354 undi, bersamaan 79.6 peratus, serta majoriti besar sebanyak 5,397 undi.

Dengan rekod empat kemenangan berturut-turut itu, persoalan sama ada Rosey akan terus diberi kepercayaan atau GPS memilih untuk mengetengahkan calon baharu kini menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Apa pun keputusan kepimpinan GPS, pengumuman hari ini pastinya menjadi detik penting yang bakal menentukan hala tuju kepimpinan politik DUN Bekenu menjelang PRN Sarawak ke-13.

Oleh Adum Liu

Monyet liar berjaya ditangkap

MARUDI, 24 November: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam minta bantuan menangkap seekor monyet