
TATAU: Inisiatif pendidikan digital di kawasan pedalaman Sarawak menerima suntikan baharu apabila Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) menyerahkan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tau.
Sumbangan itu merangkumi pelbagai kemudahan seperti televisyen (TV) pintar, sistem siaraya dan lain-lain yang dijangka meningkatkan keberkesanan pengajaran serta pembelajaran seiring dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Menurut Pengurus Besar MLNG, Khairul Ariffin Idris, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif PETRONAS Memperkasakan Ilmu yang berteraskan pembangunan modal insan dan pemerkasaan komuniti terutamanya di kawasan luar bandar.
“Sumbangan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban sekolah, malah diharapkan dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan proses pembelajaran harian para pelajar,” katanya pada majlis Memperkasakan Ilmu: Program Jangkauan Luar MLNG Bestari di SK Nanga Tau, Sungai Anap di sini, hari ini.
Tambah beliau, beberapa unit TV pintar turut akan disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah lain yang memerlukan.
Ujarnya lagi, kerjasama antara korporat dan komuniti adalah asas penting dalam memastikan pembangunan pendidikan yang mampan dan inklusif.
Program MLNG Bestari merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyokong aspirasi pendidikan Sarawak dan negara secara keseluruhan, agar tiada pelajar tercicir walaupun berada di kawasan pedalaman.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai serta isteri, Datin Sri Melia Gelen, Timbalan Pegawai Pendidikan Tatau/Sebauh, Ismawi Bujang, Guru Besar SK Nanga Tau, Iskandarsa Kalipunya dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Rosmiyat Lina.
Oleh Carolyne Utih