KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membantu mangsa bencana banjir di seluruh negara.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan solat Jumaat yang diadakan pada 6 Disember lalu di masjid-masjid seluruh Sarawak.
“Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta agensi-agensi Islam telah mengumpulkan sebanyak RM178,265.95 dalam satu solat Jumaat sahaja.
“Selain itu, MIS turut menambah sumbangan sebanyak RM21,734.05, menjadikan jumlah keseluruhan yang diserahkan kepada JAKIM hari ini sebanyak RM200,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut di Pejabat Majlis Islam Sarawak di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, dana yang disumbangkan akan disalurkan oleh JAKIM kepada pihak berkaitan bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas sejak November dan Disember lalu.
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak berkata, pihak MIS akan meneruskan inisiatif sama untuk membantu mangsa banjir yang terkesan dalam kejadian terbaru di beberapa kawasan di Sarawak.
“Majlis Islam Sarawak bersama agensi-agensi Islam lain akan melaksanakan kutipan khas bagi membantu mangsa banjir yang baharu berlaku di seluruh negeri ini.
“Pengurusan masjid-masjid di seluruh Sarawak juga akan dihubungi bagi mengadakan kutipan derma pada hari yang akan ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa pegawai-pegawai JAIS dan agensi berkaitan telah turun padang ke kawasan terjejas seperti Bintulu, Miri, dan daerah lain bagi menyampaikan bantuan secara langsung kepada mangsa banjir.
“Setiap kali berlaku musibah, pasukan kita akan digerakkan untuk membantu masyarakat yang terjejas,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal