PEMAIN pertahanan Everton, Yerry Mina di jangka akan terlepas permulaan semula Liga Perdana Inggeris setelah mengalami kecederaan otot paha, umum kelabnya semalam.
Mina, 25, mengalami kecederaan dalam latihan minggu lalu dan imbasan telah mengesahkan bahawa pemain pertahanan tengah dari Colombia itu akan diketepikan selama beberapa minggu.
Liga Perdana dijadualkan disambung semula pada 17 Jun setelah liga divisyen utama Inggeris itu ditangguhkan pada bulan Mac kerana adanya Covid-19.
“Kelab Bolasepak Everton dapat mengesahkan Yerry Mina akan diketepikan selama beberapa minggu setelah mengalami kecederaan otot,” kata satu kenyataan kelab.
“Imbasan mengesahkan pemain antarabangsa Colombia itu mengalami sedikit luka di otot kirinya ketika latihan minggu lalu.
“Pemain berusia 25 tahun itu kini berada di tahap awal pemulihannya di bawah jagaan kakitangan perubatan kelab dan membuat kemajuan yang baik.”
Mina juga mengalami kecederaan dalam musim pertama beliau dengan Everton musim lalu berikutan perpindahannya dari Barcelona.
Masalah kecergasan terbarunya muncul hanya beberapa hari setelah pemain tengah Everton Jean-Philippe Gbamin mengalami kecederaan achilles yang serius.
Gbamin akan menjalani pembedahan minggu ini dan kelab mengharapkan pemain antarabangsa Ivory Coast akan memerlukan “tempoh pemulihan yang panjang”.
Everton akan menghadapi pendahulu liga dari Merseyside, Liverpool dalam perlawanan pertama mereka ketika musim ini disambung semula pertengahan bulan ini. – AFP
LIGA PERDANA INGGERIS