
LOS ANGELES: Lionel Messi muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia sebentar tadi, selepas menjaringkan dua gol ketika juara bertahan, Argentina, mara ke pusingan 32 terbaik menerusi kemenangan 2-0 ke atas Austria.
Messi menyempurnakan rembatan rendah pada minit ke-38 dalam perlawanan Kumpulan J di Arlington, Texas, untuk menjadikan jumlah jaringan Piala Dunia sepanjang kariernya meningkat kepada 17 gol, sekali gus mengatasi rekod terdahulu sebanyak 16 gol yang dikongsinya bersama Miroslav Klose.
Beliau kemudian menambah satu lagi gol untuk melebarkan rekod kepada 18 gol apabila berjaya menyudahkan peluang di celah pertahanan Austria pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan Argentina.

Pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or yang bakal berusia 39 tahun pada Rabu itu sebenarnya berpeluang memecahkan rekod lebih awal selepas lapan minit permainan, namun gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila rembatannya tersasar melepasi tiang gol.
Bagaimanapun, kapten Argentina itu tidak melakukan kesilapan tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila tenang melepasi kawalan penjaga gol Austria, Alexander Schlager.
Messi melengkapkan dua gol peribadinya pada minit kelima masa kecederaan untuk menjadikan jumlah jaringannya dalam kejohanan kali ini meningkat kepada lima gol selepas mencatat hatrik ketika Argentina menewaskan Algeria 3-0 dalam perlawanan pembukaan minggu lalu.
Kemenangan itu menjamin tempat Argentina ke pusingan kalah mati, manakala pasukan Amerika Selatan itu berpeluang mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan sekiranya Jordan gagal menewaskan Algeria.
Mbappe buru penampilan ke-100
Messi kini mendahului empat gol di hadapan seorang lagi pemain yang memburu rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Kylian Mbappe, yang bakal membuat penampilan ke-100 bersama Perancis apabila berdepan Iraq di Philadelphia.

“Tiada yang lebih besar daripada itu. Angka 100 ialah satu pencapaian bersejarah dan peluang untuk mencapainya di Piala Dunia menjadikan perlawanan ini sangat istimewa buat saya,” kata Mbappe pada Ahad.
Mbappe, 27, kini berkongsi kedudukan dengan legenda Jerman Barat, Gerd Mueller, menerusi 14 gol selepas menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan I.
Perancis, yang tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022, dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Iraq bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati, meskipun perlawanan itu berkemungkinan terganggu susulan ramalan ribut petir di Philadelphia.
Norway dan penyerang berbisa mereka, Erling Haaland, yang menjaringkan dua gol ketika kemenangan 4-1 ke atas Iraq dalam aksi pembukaan, turut berpeluang mengesahkan kemaraan dari Kumpulan I sekiranya menewaskan Senegal di New Jersey dan Perancis mengatasi Iraq.

Bagaimanapun, kempen Piala Dunia sudah berakhir buat pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck.
Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan ligamen buku lali kiri ketika membantu Jerman menewaskan Ivory Coast 2-1 pada Sabtu lalu.
Cape Verde terus mencuri tumpuan
Dalam aksi Ahad, Sepanyol kembali berada di landasan tepat selepas membelasah Arab Saudi 4-0, manakala pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde, sekali lagi mencuri tumpuan apabila mengikat Uruguay 2-2.
Jurulatih Cape Verde, Bubista, berkata pasukannya kini mula memasang impian untuk mara ke pusingan kalah mati, sesuatu yang dianggap mustahil sebelum kejohanan bermula.
“Kami mahu menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa kami mampu bersaing untuk melayakkan diri dan saya fikir itulah yang kami pamerkan dalam perlawanan hari ini,” katanya.
Belgium pula masih mencari kemenangan pertama selepas terikat tanpa jaringan dengan Iran dalam aksi Kumpulan G.
Skuad Red Devils, yang turut seri dengan Mesir dalam perlawanan pembukaan, menamatkan perlawanan di Los Angeles dengan 10 pemain dan bergelut untuk menembusi pertahanan ampuh Iran.
Iran beraksi di Piala Dunia ketika negara itu dan Amerika Syarikat sedang mengadakan rundingan bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara.
Pasukan Iran turut meninggalkan mesej tulisan tangan selepas perlawanan di Stadium SoFi yang berbunyi: “Semoga keamanan, rasa hormat dan persahabatan terus subur dalam kalangan semua negara.”
“Kami datang ke Los Angeles dengan penuh kebanggaan, beraksi dengan penuh kehormatan dan meninggalkan bandar ini dengan maruah. Semoga keamanan, rasa hormat dan persahabatan terus subur dalam kalangan semua negara.”
Mesir melonjak ke tangga teratas kumpulan pada Ahad selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di Piala Dunia menerusi kemenangan 3-1 ke atas New Zealand. – AFP