Kane pilihan utama atasi Yamal, Mbappe rebut Ballon d’Or

Facebook
WhatsApp
SAINGAN SENGIT… Harry Kane dijangka menerima tentangan hebat daripada bintang Barcelona, Lamine Yamal dan penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe dalam perebutan anugerah Ballon d'Or 2026.

LONDON, United Kingdom: Kapten England, Harry Kane muncul pilihan utama untuk merangkul anugerah Ballon d’Or dalam persaingan sengit bersama bintang muda Barcelona, Lamine Yamal dan penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe, pada majlis berprestij di London, hari ini.

Edisi ke-70 anugerah yang diperkenalkan majalah France Football itu akan berlangsung di England buat kali pertama sebagai penghormatan kepada pemenang sulungnya, Stanley Matthews.

Majlis berkenaan juga berpotensi menyaksikan pemain England pertama dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or dalam tempoh 25 tahun.

Penyerang Bayern Munich, Kane, tampil dengan prestasi luar biasa musim lalu apabila meledak 73 gol dalam 65 penampilan bersama kelab dan skuad kebangsaan.

Ketajamannya membantu gergasi Jerman itu meraih kejuaraan berganda liga dan piala domestik, selain membawa England mara ke separuh akhir Piala Dunia

“Saya sangat ingin mencapai kejayaan seperti itu. Ia akan menjadi pencapaian yang amat besar dalam karier saya,” kata Kane, 33

Bagaimanapun, kegagalan Kane membawa Bayern Munich dan England melepasi peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara serta Piala Dunia menyebabkan peluangnya untuk memenangi anugerah itu masih belum terjamin.

“Saya rasa isteri dan keluarga saya lebih suka mengetahui keputusannya lebih awal kerana keadaan ini sangat mendebarkan bagi semua orang

“Saya faham mengapa mereka tidak memberitahu pemenang lebih awal. Mereka mahu semua pemain ternama hadir dan lebih ramai orang akan menonton jika keputusan belum diketahui,” katanya.

‘Saya layak memenanginya’

Yamal yang menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pemain Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele, tahun lalu dilihat mempunyai masa depan cerah untuk memenangi Ballon d’Or.

Bagaimanapun, bintang Barcelona berusia 19 tahun itu terpaksa menamatkan musim bersama kelab lebih awal akibat kecederaan hamstring.

Beliau juga bukan pemain paling menyerlah ketika Sepanyol menjuarai Piala Dunia menerusi kekuatan permainan berpasukan yang mantap.

Malah, Yamal terlepas anugerah Pemain Terbaik dan Pemain Muda Terbaik kejohanan kepada dua rakan sepasukannya di Barcelona, Rodri dan Pau Cubarsi.

Namun, keadaan itu tidak sedikit pun menjejaskan keyakinannya menjelang majlis penganugerahan berkenaan.

“Bagi saya, Mbappe dan saya ialah dua pemain terbaik dunia,” kata Yamal bulan lalu.

“Sejujurnya, saya berpendapat mungkin terdapat dua pemain yang boleh dianggap terbaik di dunia ketika ini.

“Pada tahun ini, saya merasakan saya layak memenanginya berdasarkan kejayaan yang sudah saya capai,” katanya.

Berbeza dengan Yamal, Mbappe memiliki pelbagai pencapaian individu yang mengagumkan, namun masih gagal meraih kejuaraan utama bersama Real Madrid mahupun Perancis.

Penyerang berusia 27 tahun itu muncul penjaring terbanyak dalam saingan La Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia, tetapi gagal memenangi ketiga-tiga kejohanan tersebut.

Sepuluh gol yang dijaringkannya pada Piala Dunia turut membolehkan Mbappe muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu dengan keseluruhan 22 gol.

“Menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia, mengatasi semua legenda hebat sukan ini dalam kejohanan paling penting, merupakan sesuatu yang benar-benar istimewa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pemain yang akan diundinya untuk memenangi Ballon d’Or, Mbappe memberikan jawapan ringkas.

“Siapa yang akan saya undi? Diri saya sendiri,” katanya.

Bagi menentukan pemenang Ballon d’Or, seorang wartawan bola sepak dari setiap 100 negara teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dijemput untuk mengundi 10 pemain terbaik daripada senarai pendek 30 calon.

Setiap pemain akan diberikan mata berdasarkan kedudukan pilihan wartawan berkenaan, dengan maksimum 15 mata bagi pilihan utama hingga satu mata untuk kedudukan paling rendah.

Pemain yang mengumpul jumlah mata tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or.

Walaupun anugerah tersebut tidak menawarkan hadiah wang tunai, kejayaan memenanginya berpotensi memberikan bonus lumayan daripada kelab dan rakan penaja komersial, selain meningkatkan nilai pemasaran seseorang pemain.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Alexia Putellas muncul pilihan utama untuk meraih Ballon d’Or buat kali ketiga, sekali gus berpotensi menamatkan penguasaan Aitana Bonmati selama tiga tahun berturut-turut.

Bonmati berdepan musim yang dibelenggu kecederaan, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk mempertahankan anugerah berkenaan.

Putellas yang pernah memenangi Ballon d’Or pada 2021 dan 2022 merupakan sebahagian daripada skuad Barcelona yang kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu sebelum berpindah ke London City Lionesses.

Bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Ewa Pajor dari Poland, dijangka menjadi pencabar utama selepas menjaringkan 11 gol dalam kempen Liga Juara-Juara yang menyaksikan kelab Catalan itu muncul juara.— AFP

Isak kembali ke prestasi terbaik – Iraola

LIVERPOOL, United Kingdom: Pengendali Liverpool, Andoni Iraola menyifatkan penyerang Alexander Isak kini kembali menemui sentuhan berbisa selepas meneruskan rentetan jaringan