Mengapa perlu ambil alih MASwings, daripada tubuh syarikat penerbangan baharu. Ini jawapannya

Facebook
WhatsApp

BANGGA dan teruja. Itulah perasaan yang mungkin dapat menggambarkan isi hati rakyat Sarawak apabila melihat ‘belon’ milik Sarawak merentasi Laut China Selatan membawa penumpang dalam penerbangan komersial. Detik bersejarah itu melengkapkan sambutan Hari Sarawak tahun ini dengan penuh bermakna dan gaya tersendiri.

Pada 20 Julai 2026, penerbangan jet komersial sulung AirBorneo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1. Dua hari kemudian, pada 22 Julai, AirBorneo memulakan penerbangan terus dari Kuching ke Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan ‘jambatan udara’ milik Sarawak sejak 2019 kini sudah menjadi kenyataan.

Pembukaan laluan ke Kuala Lumpur dan Singapura ini bukan sekadar menambah dua destinasi dalam jadual penerbangan. Kedua-duanya membuka hubungan lebih luas serta akses yang berpotensi merancakkan ekonomi Sarawak.

Kita maklum, Kuala Lumpur merupakan pusat utama pentadbiran, perniagaan dan penerbangan negara, manakala Singapura adalah antara hab kewangan dan penerbangan terpenting di rantau ini.

Hubungan langsung ke kedua-dua destinasi tersebut dapat memudahkan pergerakan rakyat, pelancong, pelabur dan komuniti perniagaan, selain membantu Sarawak memperluas jaringan ekonomi ke luar wilayahnya.

Seiring dengan itu, AirBorneo menawarkan harga tambang tetap yang lebih mudah dirancang oleh penumpang. Pakej tersebut turut merangkumi kemudahan bagasi yang lebih besar, hidangan dalam penerbangan dan pemilihan tempat duduk tanpa caj tambahan.

Keseluruhan tawaran itu bukan sekadar memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa. Ia memperlihatkan usaha untuk menyediakan perkhidmatan udara yang lebih telus dan dekat dengan keperluan rakyat, terutama mereka yang selama ini berdepan tambang tidak menentu apabila permintaan meningkat pada musim perayaan atau cuti sekolah.

Sungguhpun laluan ke Semenanjung Malaysia sudah terbuka, ia sama sekali tidak mengurangkan keutamaan untuk memastikan keterhubungan laluan luar bandar sedia ada ini terus diuruskan dengan penuh tanggungjawab.

PADA 20 Julai 2026, penerbangan jet komersial sulung AirBorneo berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1.

Penduduk di pedalaman Sarawak berhak untuk menikmati kemudahan seperti mana dinikmati oleh masyarakat di kawasan bandar, termasuk akses perjalanan udara yang konsisten, selamat dan mampu diharap bagi memenuhi keperluan harian mereka.

Apabila kita melihat perkara yang dicapai oleh AirBorneo dalam tempoh yang singkat ini, ia sebenarnya bukanlah dapat dilakukan dalam hanya sehari dua. Ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan berbulan-bulan.

Jika kita menoleh kembali ke belakang, pemeteraian pengambilalihan MASwings adalah pada 12 Februari 2025, manakala penerbangan sulung dengan livery AirBorneo adalah pada 2 Januari 2026.

Dalam tempoh peralihan yang singkat sekitar 11 bulan itu, pelbagai persiapan asas yang amat kompleks telah disempurnakan dengan pantas dan teratur. Perkara ini merangkumi penyelarasan tenaga kerja, migrasi sistem tempahan, sehingga kepada proses reka bentuk serta hiasan semula identiti visual armada.

Mewarisi

Walaupun ramai menyambut AirBorneo dengan rasa bangga, terdapat juga persoalan yang wajar diberikan perhatian. Mengapakah Sarawak memilih untuk mengambil alih MASwings dan bukannya menubuhkan sebuah syarikat penerbangan baharu dari awal?

Hal ini kerana pengambilalihan MASwings menyebabkan AirBorneo terpaksa mewarisi deretan pesawat yang agak berusia serta isu kelewatan dan pembatalan penerbangan yang sering menghantui operasi sebelum ini.

Persoalan ini sebenarnya berasas jika dilihat dari sudut pandang luaran, namun ia tidak memperhitungkan realiti teknikal dan kawal selia industri penerbangan awam yang amat ketat.

Untuk memahami kewajaran keputusan tersebut, kita perlu melihat perkara yang perlu dilakukan sekiranya Sarawak memilih untuk membina sebuah syarikat penerbangan tanpa pengambilalihan ini.

Sebenarnya, kerajaan Sarawak memang pernah mempertimbangkan pilihan itu. Sejak 2021, rancangan untuk mewujudkan sebuah syarikat penerbangan butik telah dibincangkan, termasuk kemungkinan mengembangkan operasi Hornbill Skyways.

Cadangan itu kemudian mendapat persetujuan secara prinsip daripada Kerajaan Persekutuan pada April 2023. Namun, pengalaman Hornbill Skyways dalam penerbangan sewa khas tidak bermakna syarikat tersebut boleh terus berubah menjadi pengendali penerbangan penumpang berjadual.

Sebuah syarikat mungkin boleh didaftarkan, malah turut mempunyai modal yang kukuh serta mampu membeli atau menyewa pesawat. Meskipun begitu, semua itu masih belum membolehkan ia menjual tiket dan membawa penumpang secara berjadual.

Bagi tujuan tersebut, syarikat memerlukan sekurang-kurangnya dua kelulusan penting, iaitu Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL). Kedua-dua sijil dan lesen ini perlu diperoleh daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

AOC adalah untuk membuktikan bahawa sesebuah syarikat mempunyai kemampuan sebenar untuk mengendalikan penerbangan komersial dengan selamat. Proses ini melibatkan beberapa peringkat yang ketat.

Syarikat mesti menyediakan hasrat dalam prapermohonan, diikuti permohonan rasmi, penilaian dokumen, demonstrasi operasi dan pemeriksaan lapangan sebelum pensijilan diberikan.

Pada peringkat awal, syarikat perlu menjelaskan jenis operasi yang ingin dijalankan, pesawat apa yang akan digunakan, lokasi pangkalan utama, laluan yang dirancang serta tarikh sasaran operasi.

Seterusnya, syarikat perlu membentuk struktur organisasi yang lengkap dan melantik pegawai utama dalam bidang operasi penerbangan, keselamatan, latihan, penyelenggaraan, pengendalian darat dan kawalan kualiti.

Selain itu, pelbagai manual dan prosedur operasi perlu disediakan. Hal ini termasuk manual operasi syarikat, program latihan, sistem pengurusan keselamatan, program penyelenggaraan, kawalan penerbangan, pengendalian bahan berbahaya serta prosedur kecemasan.

Penilaian

Semua dokumen ini bukan sekadar formaliti, tetapi mesti boleh dilaksanakan secara praktikal. Sebagai contoh, jika syarikat menyatakan bahawa pusat kawalan operasi beroperasi 24 jam, maka kemudahan, kakitangan dan sistem komunikasi yang menyokongnya perlu benar-benar wujud.

Selepas penilaian dokumen, pihak pengawal selia akan menjalankan pemeriksaan ke atas pangkalan operasi, pusat kawalan, kemudahan latihan dan sistem penyelenggaraan.

Dalam sesetengah kes, demonstrasi operasi atau penerbangan pembuktian turut diperlukan. AOC hanya akan dikeluarkan apabila keseluruhan sistem terbukti mampu berfungsi dengan selamat dan konsisten.

Secara umum, proses mendapatkan AOC boleh mengambil masa sekitar sembilan bulan selepas permohonan lengkap diterima. Namun, tempoh ini tidak termasuk fasa persediaan awal seperti membina organisasi, mengambil kakitangan, memperoleh pesawat dan menyediakan dokumentasi. Jika terdapat kekurangan atau ketidakpatuhan, tempoh ini boleh menjadi lebih panjang.

ASL pula bertujuan untuk memberikan hak ekonomi dan komersial untuk mengendalikan perkhidmatan penerbangan berjadual bagi penumpang, mel atau kargo. Penilaiannya merangkumi struktur pemilikan, kekuatan kewangan, pengalaman pengurusan serta kebolehlaksanaan pelan perniagaan.

Walaupun syarikat sudah memiliki AOC dan ASL, ia masih tidak secara automatik boleh beroperasi ke semua destinasi kerana perlu mendapatkan hak trafik, kelulusan laluan dan slot lapangan terbang.

Oleh itu pengambilalihan MASwings merupakan langkah pragmatik yang melangkau birokrasi permohonan baharu yang rumit dan panjang.

Berbanding membina syarikat penerbangan dari awal, Sarawak mewarisi sebuah organisasi yang sudah mempunyai juruterbang, jurutera, kru kabin, kakitangan operasi, rekod penyelenggaraan, manual operasi, sistem keselamatan serta pengalaman mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

KRU kabin AirBorneo. Foto Jabatan Penerangan.

AirBorneo pula bukan entiti baharu yang sekadar meminjam AOC atau ASL MASwings. Ia merupakan kesinambungan operasi MASwings selepas pengambilalihan dan penjenamaan semula.

Oleh itu, lebih tepat untuk melihatnya sebagai penerusan sistem sedia ada yang disusun semula di bawah pemilikan baharu, bukannya pemindahan lesen secara langsung.

Pastinya sebarang penambahan pesawat, pembukaan laluan baharu dan pengembangan operasi masih tertakluk kepada penilaian serta kelulusan pihak berkuasa. Namun, perbezaannya jelas antara mengembangkan syarikat yang sudah beroperasi dengan membina keseluruhan ekosistem penerbangan dari kosong.

Sebelum persetujuan dibuat untuk mengambilalih ini, Sarawak turut menetapkan bahawa MASwings perlu dibenarkan berkembang melangkaui RAS dan diserahkan atas dasar ‘zero liability’.

Istilah ini tidak bermaksud syarikat diperoleh secara percuma, sebaliknya merujuk kepada keperluan untuk tidak mewarisi liabiliti lama yang boleh membebankan pemilik baharu.

Oleh itu, pengambilalihan MASwings boleh dianggap sebagai langkah yang paling rasional dalam mempercepatkan penubuhan AirBorneo, sambil tetap mematuhi keperluan keselamatan penerbangan serta peraturan industri yang ditetapkan.

Sarawak tidak perlu bermula dari kosong. Operasi sedia ada sudah pun menyediakan asas seperti tenaga kerja berpengalaman, sistem operasi yang berfungsi dan pengetahuan dalam mengendalikan penerbangan penumpang.

Namun, kejayaan AirBorneo tidak sepatutnya dinilai hanya pada jumlah laluan baharu atau pertukaran pesawat. Lebih penting ialah sama ada penerbangan tepat masa, tambang yang masih mampu ditanggung dan perkhidmatan ke kawasan luar bandar terus berjalan seperti yang diharapkan.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.

Memahami 22 Julai 1963

MINGGU lalu, Sarawak telah meraikan satu peristiwa yang penuh bersejarah, iaitu Hari Sarawak. Sambutan Hari Sarawak menjadi lebih bermakna dengan