SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Lanang, Wong Ching Yong mempersoalkan sebab DAP tidak menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) di negeri ini seperti rakan gabungan mereka di Semenanjung Malaysia.
Seballiknya kata beliau, DAP di Sarawak bertanding menggunakan lambang roket, sedangkan rakan mereka di Semenanjung termasuk DAP sendiri menggunakan logo PH.
“Ini boleh mengundang masalah seandainya DAP di negeri ini mahu menyertai rakan parti atau gabungan mereka di Semenanjung Malaysia membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Ia akan menyebabkan berlaku kerumitan jika mereka menyertai ‘kerajaan PH’ disebabkan tidak menggunakan lambang yang sama masa pilihanraya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau juga mendakwa masalah itu turut mengundang kerisauan serta perhatian ramai peguam yang menyifatkannya sebagai isu perundangan yang harus dihadapi DAP Sarawak sekiranya mereka menyertai pembentukan kerajaan nanti.
Wong memohon pengamal undang-undang dalam kalangan ahli DAP menjelaskan perkara ini kerana tidak mahu timbul persoalan mengenai undang-undang akan berlaku selepas PRU-15 ketika membentuk kerajaan persekutuan.
Beliau berkata antara risikonya ialah pembatalan atau Ahli Parlimen harus letak jawatan sejajar tuntutan Akta Antilompat Parti yang mengundang berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Kos untuk mengadakan PRK ini bukannya murah malah membabitkan belanja yang begitu besar,”.
“Jika perkara ini berlaku, enam kerusi DAP yang dimenangi boleh menyebabkan sebanyak enam PRK turut akan berlaku disebabkan masalah itu,” katanya.
Wong berkata, beliau sekadar bertanya perkara itu yang merupakan soalan perundangan untuk dijawab pihak DAP.
“Oleh itu, saya meminta pengundi di negeri ini untuk tidak mengundi calon DAP pada PRU-15 ini kerana ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari jika mereka berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kita harap pengundi berfikir panjang mengenai perkara ini,” katanya.
Selepas sidang media itu, Wong bersama pemimpin komponen GPS yang lain bersama-sama melancarkan manifesto pilihanrayanya seperti yang telah didedahkan dalam sidang media hariannya sebelum ini.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR