KUALA LUMPUR, 14 Oktober: Raja-Raja Melayu menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu hari ini, semua pihak yang terlibat turut diseru supaya mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.
“Isu yang sedang dihadapi jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan, ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa.
“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat dan mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut menyeru supaya sebarang perbezaan pendirian diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab dan beradat, berlandaskan semangat syura serta musyawarah, undang-undang dan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa takhta ialah amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat dan usaha memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian. Semua pihak juga diingatkan supaya mengelakkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Menurut kenyataan itu, sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahihkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Berikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah mereka dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mendoakan supaya Allah SWT melimpahi semua pihak berkaitan dengan kebijaksanaan untuk mengatasi emosi dan muafakat untuk mengatasi perselisihan.
“Kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat hendaklah menjadi keutamaan semua pihak. Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu. – Bernama





