PETRA JAYA, 14 Oktober: Kerajaan Sarawak dicadang mewujudkan mekanisme permohonan dan rayuan secara terus bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) supaya individu yang tidak tersenarai dalam pangkalan data Sumbangan Tunai Rahmah (STR) masih berpeluang menerima bantuan berkenaan.

Adam Yii Siew Sang (GPS-Pujut) berkata, cadangan itu susulan maklum balas penduduk yang sebelum ini menerima SKAS tetapi tidak lagi layak selepas nama mereka dikeluarkan daripada senarai penerima STR.
Menurutnya, status penerima STR tidak seharusnya menjadi satu-satunya asas dalam menentukan kelayakan seseorang menerima bantuan SKAS.
“Seseorang yang tidak lagi tersenarai dalam pangkalan data tidak semestinya bermakna masalah kewangan yang dihadapinya telah berakhir.
“Perubahan keadaan isi rumah atau maklumat yang tidak dikemas kini mungkin menyebabkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027), 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.
Sehubungan itu, Adam Yii mencadangkan kerajaan menyediakan saluran permohonan dan rayuan berdasarkan pendapatan sebenar isi rumah serta keadaan kewangan pemohon.
Katanya, langkah tersebut bukan bertujuan melonggarkan syarat kelayakan, sebaliknya memastikan individu yang benar-benar memerlukan bantuan tidak tercicir.
Dalam Belanjawan Sarawak 2027, isi rumah yang layak akan menerima SKAS sebanyak RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang yang layak sebanyak RM375.
Selain itu, beliau turut mencadangkan skim pembiayaan bersyarat bagi pelajar program asasi yang boleh ditukar kepada biasiswa sekiranya mereka berjaya melanjutkan pengajian dalam program ijazah yang layak di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Beliau turut meminta kerajaan memperkukuh peruntukan penyelenggaraan kemudahan awam di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta mempertimbangkan insentif pelaburan hotel bagi meningkatkan kapasiti penginapan di Sarawak.
Oleh Norman B





