Menelusuri khazanah hidupan liar di Taman Negara Tanah Lembap Kuching

Facebook
WhatsApp
KELIBAT… Monyet belanda dilihat berada di sekitar habitat semula jadinya ketika menyusuri Tanah Lembap Kuching.

PETRA JAYA: Menyusuri sungai dengan menaiki bot ketika petang, dikelilingi kehijauan hutan paya bakau, memberikan pengalaman tersendiri apabila berpeluang melihat sendiri kepelbagaian hidupan liar di Taman Negara Tanah Lembap Kuching (Kuching Wetlands National Park).

Lawatan Pendedahan Media anjuran Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu membawa pengamal media meneroka kawasan berkenaan, bermula dengan kunjungan ke Pulau Monyet sebelum meneruskan perjalanan menyusuri Muara Sungai Batang Salak.

Pengalaman menjadi lebih menarik apabila kelibat monyet belanda dapat dilihat bergerak di sekitar habitat semula jadinya.

Monyet belanda atau proboscis monkey merupakan antara spesies ikonik Borneo yang mudah dikenali menerusi hidungnya yang mancung panjang serta perut yang menonjol.

Melihat spesies berkenaan secara langsung dari atas bot memberikan pengalaman berbeza, apatah lagi ia dapat diperhatikan dalam persekitaran hutan paya bakau yang menjadi habitat semula jadinya.

Perjalanan kemudian diteruskan ke kawasan perairan bagi mencari ikan lumba-lumba Irrawaddy (Dolphin Irrawaddy) atau empesut, sebelum kelibat haiwan berkenaan muncul seketika di permukaan air.

KEMUNCULAN… Ikan lumba-lumba Irrawaddy muncul seketika di permukaan perairan Tanah Lembap Kuching.

Walaupun kemunculannya hanya singkat, detik itu cukup mencetuskan keterujaan apabila peserta masing-masing tidak mahu terlepas peluang merakam kemunculan haiwan berkenaan.

Menjelang senja, perjalanan diteruskan menyusuri kawasan Loba Kilong yang dikelilingi hutan paya bakau, dengan suasana semakin tenang apabila cahaya matahari mula menghilang.

Dalam suasana yang semakin gelap, muncul pula pengalaman yang cukup mengasyikkan apabila kelip-kelip mula berkelipan di celah pepohon, menghasilkan cahaya kecil yang menghiasi kegelapan malam.

Kemunculan kelip-kelip itu seolah-olah memberikan suasana berbeza kepada perjalanan, sebelum pengalaman ditutup dengan kelibat buaya yang dapat dilihat di kawasan sungai.

Kemunculan reptilia berkenaan sedikit mendebarkan, namun pada masa sama memberikan gambaran mengenai kekayaan hidupan liar yang masih mendiami kawasan tanah lembap tersebut.

Sepanjang perjalanan, Pengawal Taman SFC, Bob Zakaria, turut berkongsi pelbagai maklumat mengenai hidupan liar dan ekosistem kawasan berkenaan, termasuk hubungan unik antara buaya dan udang.

KELIBAT… Buaya dilihat di kawasan perairan Tanah Lembap Kuching ketika lawatan pendedahan media SFC.

Menurutnya, udang sering berada berhampiran buaya dan memakan alga yang terdapat pada bahagian tubuh serta gigi haiwan berkenaan.

Pemerhatian masyarakat tempatan sejak dahulu mengenai hubungan antara kedua-dua hidupan itu, katanya, kini turut mempunyai penjelasan secara saintifik.

Perkongsian tersebut turut membuka perspektif bahawa sebahagian cerita dan pemerhatian masyarakat terdahulu mengenai alam semula jadi bukan sekadar cerita, sebaliknya mempunyai asas yang dapat difahami melalui ilmu dan kajian.

Lawatan berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada pengamal media melihat sendiri hidupan liar dalam habitat semula jadinya, malah membuka ruang untuk lebih menghargai kekayaan biodiversiti yang masih terpelihara di Kuching Wetlands.

Daripada kelibat monyet belanda di pepohon, ikan lumba-lumba di permukaan air, cahaya kelip-kelip yang menerangi malam hinggalah buaya yang diam mengawasi perairan, setiap detik perjalanan seolah-olah membuka satu demi satu helaian cerita alam Sarawak.

Satu perjalanan, empat pengalaman yang berbeza.

Pengalaman menyusuri sungai dari petang hingga malam itu memberikan perspektif bahawa keindahan Tanah Lembap Kuching bukan hanya terletak pada landskap hutan paya bakau, tetapi juga pada kehidupan yang terus bergerak dan bergantung kepada ekosistem berkenaan.

MEMUKAU… Kelip-kelip berkelipan di celah pepohon ketika suasana malam mula menyelubungi Tanah Lembap Kuching.

Bagi pengunjung, pengalaman sebegitu pastinya meninggalkan kenangan tersendiri kerana dalam satu perjalanan, pelbagai penghuni alam dapat disaksikan dalam persekitaran semula jadi masing-masing.

Tanah Lembap Kuching bukan sekadar destinasi untuk diterokai, tetapi sebuah khazanah alam yang mengajak pengunjung mengenali, menghargai dan memahami kepelbagaian biodiversiti Sarawak yang perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Oleh Shikin Mahmud

Sampai bila

Dalam kehidupan bermasyarakat, kita sering bertanya tentang hal orang lain tanpa menyedari kesan pertanyaan tersebut terhadap perasaan mereka. Kita bertanya