Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Mencuit Nubari Pembaca
  • WBS

Mencuit Nubari Pembaca

Utusan Sarawak 2 years ago

Oleh: Mohidin Haji Malek

SEBAGAI manusia, kita sering ‘diusik’ peristiwa yang dilalui, sama ada yang manis, mahupun yang pahit. Kenangan yang sedemikian meninggalkan kesan, yang bagi sesetengah daripada kita, sukar untuk dilupakan. Hal yang sedemikian, menjadi faktor pemicu untuk ‘mengabadikannya’ dalam bentuk tulisan, lantas menghasilkan karya dalam genre tertentu. Lazimnya, pada kebiasaan, sajak lebih digemari kerana sifatnya yang pendek dan ekonomis dari segi penggunaan perkataan. Sajak tidak memerlukan pembinaan ayat-ayat yang kompleks. Demikian tanggapan lazim yang menjadikan genre ini lebih ‘produktif’ berbanding cerpen, novelet atau novel.

            Apa-apa juga genre yang dipilih oleh seseorang pengkarya untuk ‘mengabadikan’ kenangan silam yang telah dilalui berupa kebebasan dalam dunia pengkaryaan. Namun demikian, suatu perkara yang sering terbias daripada minda kebanyakan pengkarya Ialah hakikat bahawa apa-apa yang dihasilkan dengan tujuan untuk disiarkan, bukan semata-mata untuk dihayati oleh pengkaryanya semata-mata. Akan tetapi untuk tatapan, bacaan serta penghayatan khalayak pembaca. Lantaran hakikat yang sedemikian itu, karya yang dihasilkan seharusnya mampu mempunyai daya ‘pemikat’ atau penarik. Dalam konteks yang sedemikian ini serta penjurusannya menyentuh penghasilan sajak, pemilihan diksi, pembinaan bait, pembentukan rangkap serta ‘pemasukan’ nilai-nilai keindahan serta emosi dalam karya berkenaan berupa ciri-ciri yang wajar diberikan perhatian khusus.

            Membaca serta menaakuli sesebuah sajak dalam konteks makalah ini, tidak ubah seperti menonton drama atau filem di pawagam atau televisyen. Sekiranya peran atau pelakon dalam sesebuah drama atau filem itu berupaya menghidupkan watak yang dipegang, pasti akan mampu menyentuh emosi penontonnya. Sebagai contoh filem-filem yang dihasilkan oleh seniman agung, allahyarham P. Ramlee dahulu, mampu membuat kita sebagai penonton ketawa terbahak-bahak atau menangis. Hal yang membuatkan filem-filem berkenaan malar segar dan tidak menjemukan, waima ditonton berkali-kali. Demikian juga halnya dengan sesebuah karya seperti sajak. Pengolahan yang baik mampu ‘menyentuh’ bukan sahaja emosi khalayak pembaca, akan menjadikan sajak berkenaan rujukan dalam ranah ilmu yang berkaitan. Hal yang sedemikianlah yang wajar ditanam atau dipasakkan dalam pemikiran pengkarya apabila menghasilkan sesuatu bentuk tulisan.

            Pun tidak kurang pentingnya juga adalah penitipan mesej, ilmu, pengajaran, pemikiran serta falsafah dalam karya yang dihasilkan. Hal yang sedemikian bertitik tolak daripada hakikat bahawa berkarya berupa suatu ibadah yang menganjurkan masyarakat ke arah kebaikan serta mengelak daripada melakukan sesuatu yang melanggar nilai-nilai murni dalam kehidupan. Penitipan kesedaran yang sedemikian berupa salah satu tanggungjawab pengkarya. Setiap karya, setidak-tidaknya, menyelitkan unsur sama ada nasihat atau peringatan bahawa apa-apa juga nilai yang destruktif, seharusnya dijauhi. Secara rasionalnya, berkarya berupa ‘dakwah sastera’. Bagi sesetengah pembaca, mungkin kenyataan ini kurang dipersetujui atau disenangi. Apa-apapun, sisi tafsiran masing-masing tentang hal yang sedemikian berupa ‘hak’ peribadi.

            Ekoran daripada apa-apa yang diperkatakan, penulis alihkan landasan perbicaraan terhadap tiga buah sajak yang telah disiarkan pada minggu lalu, iaitu sajak “Angkara Rokok dan Kopi”, tulisan Adie Abd Ghani, “Sandiwara di Lakon Layar” oleh Mohd Noor Asa’a dan “Ibu” karya Muhamad Bohari. Ketiga-tiga buah sajak ini tidak kurang menariknya untuk dibicarakan. Dua buah daripada sajak berkenaan menyajikan subjek atau inti bicara yang sering dihidangkan oleh kebanyakan pengkarya sebelum ini, manakala sebuah daripadanya menyajikan sesuatu yang menyelitkan elemen yang bersifat ‘sensitif’ bagi sesetengah khalayak pembaca, khususnya mereka dalam kalangan yang mengutamakan penjagaan kesihatan.

            Sajak “Angkara Rokok dan Kopi” berupa sebuah sajak yang memperkatakan kesan rokok dan kopi. Bagi khalayak pembaca tertentu, hal yang sedemikian mampu dihayati dan difahami. Namun, bagi sesetengah pembaca, kesan yang dihadirkan oleh nikotin dan kafein dalam rokok dan kopi, tidak mungkin akan dapat dibayangkan atau dirasakan. Bagi sesetengah pembaca, tidak mustahil akan timbul persoalan, wajarkah berbicara tentang rokok dalam usaha kerajaan kini mengawal amalan yang dikatakan mampu mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan? Hal yang sedemikian harus diihat dari sisi sama ada, apa-apa yang dipaparkan pengkarya menitipkan nasihat yang bersifat pencegahan atau penggalakan. Lantaran, pembaca pun seharusnya bijak mentafsir apa-apa yang tersirat. 

            Lewat sajak ini, Adie Abd Ghani memperkatakan ‘kesan’ akibat rokok yang dihisap dan kopi yang diteguk. Untuk menyatakan secara khusus apa-apa yang dinukilkan berdasarkan pengalaman amalan atau tidak, hal yang sedemikian bukan fokus yang menjadi keutamaan. Dalam konteks pembicaraan ini, aspek yang diberikan perhatian berupa kekuatan atau kekurangan sajak berkenaan. Secara umum, Adie menyatakan kesan akibat merokok dan minum kopi yang menalikan tindak balas sukar untuk melelapkan mata sedangkan pada hari yang berikutnya, ada bebanan tugas yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab yang menanti ini, menagih kecergasan tubuh badan dan hal yang sedemikian pula menuntut rehat atau tidur yang cukup. Andai ditaakuli secara mendalam, terkesan juga unsur nasihatnya.

            Dari segi pembinaannya, beberapa perkara perlu diambil ingatan oleh pengkaryanya. Antaranya termasuklah pengolahan bait, pemilihan diksi serta ketepatan maksud. Sekadar memetik beberapa contoh, baris ketiga pada rangkap pertama, iaitu “disedut duanya …”, baris ketiga pada rangkap kedua, iaitu “malam terasa jenjang” dan baris kelima rangkap ketiga yang dinukilkan “dari kepulan dihembus teliti”. Bagi frasa “disedut duanya”, timbul persoalan sama ada dua batang rokok disedut sekali. Oleh itu, jika kata ‘kedua-duanya’ digunakan, akan lebih gramatis sifatnya. Kata ‘jenjang’ pula kurang tepat digunakan. Disarankan Adie merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga untuk mengetahui maksud perkataan berkenaan, manakala frasa “dihembus teliti”, agak kurang sesuai atau persis penggunaannya dalam konteks berkenaan. Disarankan juga agar Adie memberikan perhatian pada perkataan-perkataan berhuruf hitam tebal untuk memastikan ketepatan dan kepersisan maksudnya. Dipaparkan keseluruhan sajak berkenaan.

Angkara Rokok dan Kopi

Gara-gara kuteguk kopi

rokok pula kemas di jari

disedut duanya bak berhujung tiada

mataku melirik sendu

akan gelap malam nan gelita

seraya memikir percaturan esok

serta longgokan beban berondok

Gara-gara kuteguk kopi

dan rokok masih di jari

malam terasa jenjang

kuhitung bebiri infiniti

dari kepulan dihembus teliti

memujuk benak ‘tuk bersenggang

sebelum bertarung di bendang.

Malah cuma menguap malar

tapi mata terbeliak segar

waras dan sedar

angkara rokok dan kopi.

            Sajak “Sandiwara di Lakon Layar” oleh Mohd Noor Asa’a pula berkisar tentang kisah percintaan yang tidak kesampaian akibat sikap ego serta sandiwara kepuraan sesuatu pihak. Sifat enggan mengalah menjadi titik tolak kepada putusnya tali percintaan. Persoalan cinta amat sering menjadi tajuk pengkaryaan, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda. Perkara yang sedemikian sesuatu perkara yang lumrah. Tidak dapat dinafikan bahawa cinta meninggalkan kesan yang mengesankan dalam sanubari setiap insan, tanpa mengira usia. Dari segi struktur pembinaannya, baik. Mohd Noor pun berhati-hati dari segi pemilihan diksi agar tidak tergelincir daripada kepersisan maksud yang mampu merencatkan sajak berkenaan. Namun demikian, sedikit teguran buat Mohd Noor adalah dari aspek ejaan sepatah perkataan, iaitu ‘imajinasi’ dalam rangkap kedua yang sepatutnya dieja sebagai ‘imaginasi’. Hayati kembali sajak berkenaan.

Sandiwara di Lakon Layar

Tidak terhitung hari-hari yang berlalu

pada kesekian lamanya kita memintal kasih

yang tidak terlerai dengan kata-kata.

Pada setiap waktu berlalu

yang pernah kita depani bersama

adalah detik-detik indah yang tidak terucapkan

yang sering hadir

melewati imajinasi di persada angan kepuraan.

Di segenap masa silam kita

ada lambaian kenangan

yang kesekian lama meruntun hati

kerana ia menggusarkan ingatan

tentang indahnya sesimpul ikatan bernama cinta

yang tidak terungkai oleh keinginan hasratku.

Masih tidak pasti

adakah kita telah membibitkan benih-benih kasih

lalu memekar bunga cinta?

Sehingga detik ini pun,

kita masih keliru

mencari jawapan yang masih di awangan

gundah serta sering diuji dengan kekalutan!

Aku masih juga menelan ego,

dan kau pula menayang lakonan di layar sikapmu.

Saban hari kau ceritakan kisah sandiwaramu

menari di pentas kepuraan itu

lantas aku jadi jemu dan ralat

sehingga gagal mentafsir plot-plot ceritamu

yg penuh metafora itu.

Izinkan aku noktahkan di adan akhir ini

kisah sadis antara kita,

agar aku mampu mengukir senyum di bibir damai.

Dan, kulepaskan kau terbang bersama anganmu,

mengheret egomu,

mengepak sayap sinismu

dan menyanggah bilah-bilah nostalgia

yang berceracah di sepanjang lajur kenangan kita.

            Sajak “Ibu” hasil karya Muhamad Bohari membicarakan tentang imbauan kenangan terhadap salah seorang insan yang amat bermakna dalam kehidupan manusia, iaitu ibu. Sajak tentang ibu pun banyak yang terhasil. Pembicaraannya terfokus terhadap pengorbanan ibu membesar, mengasuh serta mendidik anak-anak agar mereka menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Ketiadaan seseorang ibu apabila kembalinya ke alam abadi, tidak dapat dinafikan menggugah nubari seorang suami dan anak-anak. Apatah lagi seandainya ibu berkenaan bersifat penyanyang dan lemah lembut. Namun demikian, dalam perakaman ilham untuk menggambarkan pengorbanan seoran ibu, tidak semudah yang difikirkan. Andai pengkarya tidak berhati-hati, unsur emosi tidak akan dapat menyerap dalam nubari pembaca.

            Muhamad Bohari bukanlah pendatang baharu dalam dunia pengkaryaan. Hasil karya beliau kerap menghiasi dada akhbar tempatan. Namun demikian, dalam konteks pembicaraan sajak ini, terkesan ketidaktelitian pengkarya dalam membina kerangka serta struktur sajaknya. Terdapat sedikit unsur kecelaruan yang sedikit sebanyak merencatkan sajak yang dihasilkan. Namun, masih ada ruang bagi pengkaryanya untuk melakukan pemurnian serta penambahbaikan. 

            Sajak ini dimulakan dengan bait yang baik dan mengesankan walaupun ada beberapa sisi yang perlu dibaiki. Namun, dalam rangkap kedua, terkesan ketidakserasian atau kejanggalannya apabila ditautkan dengan rangkap ketiga. Dalam hal sedemikian, sikap berhati-hati dituntut apabila melakukan satu transisi dari satu rangkap ke satu rangkap. Dalam rangkap ketiga, penggulangan kata ‘padi’ pada baris keempat dan kelima agak kurang puitis. Apa-apapun secara umumnya usaha Muhamad Bohari untuk menyajikan sajak bagi mengingati jasa serta pengorbanan insan bergelar ibu wajar dipuji. Dipapar kembali sajak berkenaan.

Ibu

(Mengingati arwah bonda, Rakiah Haji Ahmad)

Engkau wanita paling agung untukku

sekalipun aku mandikan ibu

dengan air mawar dan kasturi

jasamu ibu tidak akan terbalas

walau kuselimutimu ibu dengan kain kapas

Kata ibu

aku lahir di Miri

sebuah kampong bernama Pujut

sunyi dan sepi

Ibu berlari dan berlari

bermesra dengan bumi

mencari pucuk ubi

dan ibu diasuh bertanam padi

menumbuk padi

Hari-hari berlalu

kusedari kita dibawah koloni

hari-hari yang pilu

menjadi aku cemburu

aku jadi lebih berani

aku mula mengaji

aku pantas mengenal ayat-ayat suci

            Secara umumnya, ketiga-tiga buah sajak yang dihasilkan oleh ketiga-tiga orang pengkarya berkenaan baik, namun masih ada ruang untuk melakukan pemurnian serta penambahbaikan, khususnya sajak “Angkara Rokok dan Kopi” dan “Ibu”. Apa-apa yang penulis perkatakan berupa teguran serta ulasan yang terilham dari nubari. Harapan penulis, agar ketiga-tiga orang pengkarya berkenaan tidak berasa tersinggung atau berkecil hati. Tahniah serta syabas dirakamkan. Teruskanlah berkarya serta jadikan kamus sebagai bahan rujukan. Baca dan terus membaca agar dapat tergali ilmu yang berguna daripada amalan pembacaan.

            Salam sastera, bahasa dan budaya. Bahasa jiwa bangsa.

Continue Reading

Previous: Syawal
Next: Cerpen “Syawal” – Sebuah Realisme Manis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.