Saberkas Meradong terus perkasa program kebajikan masyarakat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PRIHATIN… Datuk Ding Kuong Hiing menyampaikan bantuan ketika mengadakan lawatan kebajikan kepada seorang penerima di Hospital Sarikei, semalam. Foto Pusat Khidmat Meradong

SARIKEI: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi teras perjuangan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong menerusi pelaksanaan berterusan Program Saberkas Prihatin bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program tersebut merupakan usaha berterusan Saberkas untuk mendekati masyarakat serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang berdepan kesukaran.

Beliau berkata, amalan saling mengambil berat dan membantu antara satu sama lain merupakan nilai murni yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat.

“Setiap kunjungan kebajikan bukan sahaja membawa bantuan, malah menyampaikan mesej bahawa masyarakat tidak pernah bersendirian ketika berdepan kesukaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kebajikan dan menyampaikan bantuan kepada nenek Exco Saberkas Cawangan Meradong, Jessica, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sarikei, semalam.

Ding, yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, berkata bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban keluarga selain menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus tabah menghadapi ujian.

“Saberkas Cawangan Meradong akan terus memainkan peranan aktif dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan kebajikan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Meradong,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa bertanya khabar, mendapatkan perkembangan keadaan kesihatan penerima serta memberikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga.

Beliau berkata, Program SABERKAS Prihatin akan terus diperkasakan sebagai wadah menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat perpaduan, di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat.

“Saya berharap usaha murni seperti ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk mengamalkan budaya prihatin, saling membantu dan berganding bahu dalam membina masyarakat yang lebih penyayang, bersatu padu serta sejahtera,” katanya.

Oleh Earl Anek