KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan golongan M40 dan B40 terus mendapat akses perlindungan kesihatan, termasuk memperkenalkan Pelan MediAsas, serta memperkukuh Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Skim Perubatan MADANI dan MySalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MediAsas adalah antara langkah di bawah kerangka RESET bagi menangani peningkatan kos perubatan swasta, khususnya dengan menyediakan pilihan perlindungan kesihatan yang lebih mampu milik untuk golongan M40.
Beliau berkata, MediAsas ialah pelan insurans dan takaful perubatan dengan kadar premium berpatutan, yang akan mengintegrasikan secara berfasa mekanisme pembayaran berasaskan Kelompok Berkaitan Diagnosis (DRG) di hospital swasta.

“Harus ditekankan, pelan MediAsas tidak menggantikan tetapi saling melengkapi sistem penjagaan kesihatan awam yang akan terus menyediakan Perlindungan Kesihatan Sejagat untuk semua rakyat Malaysia yang telah pun dibiayai melalui sumber cukai di Malaysia.
“Pelan MediAsas diperkenalkan bagi melengkapi perlindungan yang sedia ada dengan tujuan memperluas liputan dan pilihan kepada golongan M40,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (BN-Rompin) tentang langkah menangani inflasi perubatan swasta dan memperkasakan skim perlindungan kesihatan nasional di Dewan Rakyat hari ini.
Pelan MediAsas akan dilancarkan secara rintis di Lembah Klang melibatkan enam syarikat insurans dan takaful pada hujung bulan ini sebelum diperluas ke peringkat nasional bermula Januari 2027.
Dzulkefly berkata, kerangka RESET turut meliputi interoperability rekod perubatan elektronik bagi mengurangkan pertindihan ujian dan imbasan perubatan, serta penstrukturan semula bil hospital swasta.
Golongan B40, katanya, kekal dilindungi menerusi rangkaian 154 hospital dan lebih 3,000 fasiliti kesihatan awam, selain kemudahan seperti PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan MySalam.
Beliau berkata, MediAsas pula memberikan fokus kepada golongan M40 yang memerlukan pilihan perlindungan kesihatan swasta pada kos lebih terkawal, termasuk mengambil kira isu penyakit sedia ada, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan cabaran kesihatan mental. – Bernama




