KPM peruntuk lebih RM13 bilion tangani sekolah daif dari 2023 hingga 2027

Facebook
WhatsApp
KPM peruntuk lebih RM13 bilion tangani sekolah daif dari 2023 hingga 2027. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 17 November: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan lebih RM13 bilion bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara menerusi pelaksanaan projek pembinaan semula bangunan sekolah dalam tempoh 2023 hingga 2027, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata peruntukan itu melibatkan RM1.7 bilion pada 2023, RM1.8 bilion (2024), RM4.1 bilion (2025), RM1.3 bilion (2026) dan RM4.1 bilion diperuntukkan bagi tahun depan.

Beliau berkata peruntukan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu bangunan sekolah daif serta memastikan kemudahan pendidikan berada dalam keadaan selamat dan kondusif.

“Ini menunjukkan komitmen daripada Kerajaan MADANI untuk memastikan sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif dapat kita tangani,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Wong berkata kerajaan turut melaksanakan inisiatif Ubah Suai dan Naik Taraf (USNT) sebagai tambahan kepada peruntukan penyelenggaraan sedia ada, dengan RM100 juta diperuntukkan tahun ini bagi sekolah di Semenanjung Malaysia. 

Pemantauan keadaan bangunan sekolah dilaksanakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) turut terlibat dalam penilaian teknikal serta mengemukakan syor berkaitan perobohan dan pembinaan semula.

“Sekiranya kita mempunyai bangunan yang sudah sampai ke skala enam, maka penyelenggaraan secara besar-besaran akan dilakukan supaya ia tidak dikategorikan sebagai skala tujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai dasar keutamaan, mekanisme pemantauan berkala KPM terhadap bangunan sekolah daif serta peruntukan disediakan kerajaan bagi menangani isu berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai pelan bertarikh bagi menggantikan bangunan skala tujuh di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Tamparuli serta SMK Tenghilan di Sabah, Wong berkata KPM telah merangka pelan tiga fasa melibatkan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata bagi langkah segera, bangunan yang dikenal pasti berisiko di kedua-dua sekolah berkenaan telah dikosongkan, manakala projek USNT serta kerja penyelenggaraan diteruskan bagi memastikan keselamatan murid dan warga sekolah. 

KPM turut merancang pembinaan bilik darjah menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular di bawah Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 14 bilik darjah di SMK Tenghilan dan antara 14 hingga 16 bilik darjah di SMK Tamparuli, dengan kerja awalan disasarkan bermula Februari 2027 dan tempoh pembinaan antara enam hingga sembilan bulan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, KPM sedang memuktamadkan pelaksanaan ujian integriti struktur (SIT) bersama JKR Sabah sebelum permohonan peruntukan bagi pembinaan semula bangunan akademik dikemukakan di bawah RP3 RMK13 pada 2028,” katanya.

Beliau berkata KPM bersedia menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan SIT, dengan kos bagi SMK Tenghilan dianggarkan sekitar RM400,000 bagi membolehkan penilaian itu dilaksanakan secepat mungkin. – Bernama