Badak air kesayangan pengunjung Zoo Cincinnati mati selepas tertelan topi kait

Facebook
WhatsApp
PAPARAN skrin yang dirakam di Washington DC pada 19 November 2026 menunjukkan gambar badak air Fiona dan mesej sokongan daripada Zoo San Antonio. Fiona mati selepas usaha mengeluarkan topi yang tertelannya gagal. Foto AFP

WASHINGTON, 20 November: Fiona, badak air yang terkenal di seluruh dunia, mati selepas beberapa percubaan doktor veterinar untuk mengeluarkan topi kait yang ditelannya secara tidak sengaja gagal, menurut Zoo Cincinnati.

Badak air Nil berusia sembilan tahun itu, yang mencuri perhatian ramai menerusi gelagatnya di media sosial, mula hilang selera makan selepas tertelan topi berkenaan minggu lalu.

“Dengan dukacita yang amat mendalam, kami memaklumkan bahawa Fiona tidak dapat diselamatkan biarpun pasukan veterinar dan penjaganya telah beberapa kali cuba membantunya ketika keadaannya menjadi kecemasan perubatan,” menurut kenyataan zoo itu di media sosial.

Menurut kenyataan itu, pasukan veterinar berusaha sedaya upaya membantu Fiona selepas haiwan itu tertelan topi yang secara tidak sengaja tercampak ke dalam habitatnya.

“Beberapa percubaan untuk mengeluarkan topi itu daripada saluran pencernaannya gagal. Pasukan kami memberikan rawatan sokongan hari ini dalam usaha menyelamatkannya, namun Fiona tidak pulih,” menurut kenyataan itu.

Keadaan Fiona mendapat perhatian dan sokongan orang ramai di seluruh dunia.

“Saya tidak pernah berdoa sebegitu bersungguh-sungguh agar seekor badak air membuang najis,” tulis seorang pengguna Instagram.

Sebahagian pengguna lain menyalahkan ibu bapa seorang kanak-kanak yang menurut pihak zoo, melambung topi itu ke udara sebelum terkena kipas siling dan tercampak ke dalam habitat Fiona.

Dalam satu hantaran di Instagram, pihak zoo berkata, pasukan penjaga Fiona turut menggunakan pelantar bergetar yang dipinjam daripada sebuah ladang kuda tempatan untuk merangsang pergerakan saluran pencernaannya bagi membantu topi itu keluar.

Pasukan itu turut memberi Fiona menghidu kopi. Haiwan itu mengeluarkan bunyi dengusan dan menggerakkan telinganya sebagai reaksi.

Pengarah Kesihatan Haiwan Zoo Cincinnati, Mike Wenninger berkata, Fiona dipantau sepanjang 24 jam dan diberikan rawatan termasuk enema serta ubat tahan sakit dan ubat antiloya.

Katanya, pembedahan dianggap tidak sesuai kerana Fiona sudah mencapai saiz dewasa. Percubaan mengeluarkan topi itu menggunakan alat skop sepanjang kira-kira 2.7 meter yang dimasukkan melalui rektumnya selepas haiwan itu diberi ubat pelali turut gagal.

Fiona dilahirkan pada Januari 2017 dan merupakan badak air Nil pertama yang lahir di Zoo dan Taman Botani Cincinnati dalam tempoh 75 tahun.

Fiona lahir pramatang dan pada mulanya tidak mampu berdiri atau menyusu daripada ibunya, Bibi, namun keadaannya kemudian pulih.

Fiona dan adik jantannya, Fritz, yang dilahirkan pada 2022, mencuri hati orang ramai di seluruh dunia menerusi rakaman video gelagat mereka menggigit tembikai, mengharungi air di dalam kolam yang dipenuhi ikan tilapia dan mendongak untuk mencapai daun.

Zoo Cincinnati dibuka pada 1875 dan merupakan zoo kedua tertua di Amerika Syarikat. – AFP