KUALA LUMPUR, 17 November: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan khidmat rundingan dan kemudahan penstrukturan semula pinjaman kepada peminjam menerusi penganjuran Bulan Mesra Peminjam (BMP) PTPTN 2026.
Dalam kenyataan hari ini, PTPTN memaklumkan bahawa inisiatif yang berlangsung dari 1 November hingga 15 Disember itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam mendapatkan khidmat nasihat serta menyusun komitmen bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Menerusi program itu, peminjam, khususnya mereka yang mempunyai tunggakan bayaran balik, digalakkan tampil berunding dengan PTPTN bersempena Kempen Lestari Pendidikan bagi mengenal pasti kaedah pembayaran yang bersesuaian.
“PTPTN turut menawarkan bayaran serendah 20 peratus atau RM1,000 daripada keseluruhan tunggakan, mengikut jumlah yang lebih tinggi, bagi tujuan penstrukturan semula pinjaman, penggabungan pinjaman dan pertukaran Ujrah,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, waktu operasi kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan turut dilanjutkan dari 8.30 pagi hingga 6.00 petang mulai 1 hingga 15 Disember ini.
Kemudahan itu melibatkan kaunter di semua negeri, kecuali Terengganu, Kedah, Kelantan dan Sabah yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis.
Selain itu, kaunter pejabat PTPTN negeri dan cawangan terpilih turut dibuka pada 5 dan 12 Disember dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
PTPTN turut melaksanakan inisiatif #PTPTNSediaBantu dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan bagi memudahkan peminjam berurusan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
“PTPTN menyeru semua peminjam agar memanfaatkan peluang sepanjang BMP 2026.
“Komitmen membayar balik pinjaman bukan sekadar melunaskan tanggungjawab, malah merupakan tanggungjawab bermakna dalam memastikan kesinambungan pembiayaan pendidikan tinggi demi manfaat generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. – Bernama




