KUCHING, 31 Oktober: Media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan bantuan yang disediakan sampai kepada masyarakat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman yang masih mempunyai akses terhad kepada internet.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, media bukan sekadar bertanggungjawab menyampaikan berita, malah menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam memastikan keperluan serta isu masyarakat mendapat perhatian.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian dengan pengamal media penting supaya tiada golongan masyarakat tercicir daripada menerima maklumat berkaitan bantuan dan perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan perlu disampaikan secara berterusan bagi memastikan masyarakat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
Nancy turut merakamkan penghargaan terhadap disiplin pengamal media di Sarawak yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa penyampaian maklumat memerlukan ketelitian dan tanggungjawab, khususnya apabila melibatkan isu yang masih dalam tindakan pihak berkuasa atau prosiding mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memperluas pendekatan pemerkasaan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kanak-kanak, termasuk daripada rumah institusi, rumah akhlak dan keluarga berpendapatan rendah (B40).
Katanya, pendekatan baharu itu bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak terhadap kemahiran praktikal seperti kraf dan jahitan kreatif bagi membantu mereka mengenal pasti serta mengembangkan potensi diri.

Beliau berkata, kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh sokongan kepada wanita, termasuk Program Kasih Wanita yang merekodkan 6,945 penyertaan ibu tunggal.
Menerusi program itu, ibu tunggal turut dibantu mendapatkan hak nafkah anak melalui sokongan guaman dan bantuan berkaitan bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya di mahkamah.
Selain itu, program berkaitan pemerkasaan wanita turut menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada 3,584 wanita.
Nancy berkata, usaha memperkukuh perlindungan sosial turut dilaksanakan menerusi advokasi ant gangguan seksual yang telah menyantuni 19,908 individu, manakala sistem E-TAGS merekodkan 154 aduan setakat 11 Oktober 2026.
Dalam sektor penjagaan pula, seramai 8,000 pekerja penjagaan warga emas telah dilatih melalui HRD Corp, selain usaha memperkukuh latihan khusus untuk penjaga orang kurang upaya (OKU).
Beliau turut menyentuh perancangan penubuhan dua Pusat Kepakaran Pencegahan Bersepadu (NICE) di Sarawak dan Pulau Pinang seperti yang diumumkan dalam Belanjawan, yang memerlukan perbincangan lanjut berkaitan pelaksanaan dan pembangunan infrastrukturnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Media KPWKM 2026, di sini.
Oleh Afiq Sallehi





