MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) Cawangan Miri akan menganjurkan Program Vaksinasi Anti-Rabies Percuma, Pelesenan Anjing dan Mikrocip di tiga lokasi sekitar bandar raya ini sepanjang Ogos depan.
Datuk Bandar MBM, Adam Yii Siew Sang berkata, program itu merupakan usaha berterusan MBM untuk menggalakkan pemilik anjing mendapatkan vaksin anti-rabies, di samping meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di sini hari ini.
Menurutnya, program itu akan diadakan di Tamu Taman Tunku pada 8 hingga 9 Ogos, kawasan parkir Pasar Raya Nam Leong, Senadin pada 15 hingga 16 Ogos, dan Taman Awam Miri pada 22 hingga 23 Ogos. Program tersebut akan berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Program ini memberi peluang kepada pemilik anjing untuk mendapatkan vaksin anti-rabies, lesen anjing dan mikrocip secara percuma.
“Saya menggesa semua pemilik anjing agar mengambil peluang ini demi melindungi haiwan peliharaan masing-masing, di samping memastikan keselamatan komuniti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemilik supaya membawa kad pengenalan semasa pendaftaran, memastikan anjing diikat dengan tali, serta memasang muncung pada anjing yang agresif bagi menjamin keselamatan sepanjang program berlangsung.
Adam berkata, selepas menerima suntikan vaksin, pemilik perlu mengasingkan anjing selama 28 hari bagi membolehkan imuniti terbentuk sepenuhnya.
Dalam tempoh tersebut, anjing juga perlu dipastikan sentiasa berada di dalam kawasan rumah.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua anjing di Sarawak diwajibkan menerima vaksin anti-rabies mengikut Perintah Vaksinasi Anti-Rabies.
Kegagalan mematuhi perintah itu boleh dikenakan denda sehingga RM2,500 di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Katanya, pemilik yang membiarkan anjing berkeliaran tanpa kawalan di tempat awam juga boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM2,500.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan berhak menyita anjing yang tidak dikawal mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.
Oleh Liong Chai Ling




