AKUN GIMAN
KANOWIT:Mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Ngemah telah ditemui pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, PPgB Arrahman Chik berkata, mayat mangsa Nekson Dana Raimond ditemui terapung di Tebing Sungai Ngemah, Nanga Benuk, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
“Kita menerima maklumat daripada penduduk kampung yang melalui Sungai Ngemah kira-kira jam 8.45 pagi telah menemui mayat terapung.
“Pihak Bomba bersama penduduk bergegas ke lokasi dan mengambil mayat tersebut untuk dibawa ke rumah panjang bagi membuat pengecaman.
“Hasil pengecaman keluarga mangsa, mayat yang ditemui itu adalah Nekson Dana Raimond,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita semalam.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Tega Bilong berkata, mayat telah diserahkan kepada keluarga mangsa disebabkan keluarga mangsa tidak mahu mayat itu dibawa ke hospital untuk menjalani proses bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan pada jam 10.00 pagi tadi (semalam),” ujarnya lagi.
Terdahulu semasa kejadian sekitar jam 4.00 petang Khamis lalu, mangsa bersama datuk dan neneknya mandi di Sungai Ngemah.
Ketika neneknya hendak naik untuk memakai baju, tangan mangsa terlepas dari gengaman neneknya dan terus hanyut di bawah arus deras.
Datuk dan neneknya bergegas balik ke rumah panjang untuk meminta bantuan dari penduduk rumah panjang mencari mangsa.
Pada jam 5.00 petang, tiga buah perahu panjang digunakan untuk mencari mangsa tersebut sehingga jam 7.00 petang, namun mangsa masih belum dijumpai.
Pada malam kejadian, BBP Kanowit dan Balai Polis Kanowit telah dihubungi oleh seorang pengadu yang memaklumkan insiden tersebut.
Selepas itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang disertai bomba, polis dan penduduk rumah panjang telah dilancarkan.