Belia Bukit Saban diseru rebut peluang pendidikan, kemahiran dan ekonomi

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menyantuni belia Program Lawatan Belia N.37 Bukit Saban ke Kuching pada majlis makan malam program berkenaan. Foto Douglas Uggah Embas Official

KUCHING: Golongan belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban diseru memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam bidang pendidikan, kemahiran dan ekonomi yang tersedia bagi membina masa depan lebih baik serta mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan modal insan perlu diberi perhatian secara berterusan bagi memastikan golongan muda memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Menurutnya, belia perlu bersikap proaktif dalam mengenal pasti dan merebut peluang yang tersedia, khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran serta ekonomi yang semakin berkembang di Sarawak.

“Anak-anak muda kita mesti melihat peluang yang ada dan mengambilnya dengan sebaik mungkin.

“Pendidikan dan kemahiran akan menjadi asas untuk mereka membina masa depan, manakala peluang ekonomi pula perlu dimanfaatkan apabila mereka sudah memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Lawatan Belia N.37 Bukit Saban ke Kuching, di sini semalam.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut menggalakkan golongan belia memanfaatkan kemudahan pendidikan percuma menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi, sekali gus meningkatkan kelayakan dan kemahiran masing-masing.

KENANGAN…Datuk Amar Douglas Uggah Embas bergambar kenangan bersama belia Program Lawatan Belia N.37 Bukit Saban ke Kuching. Foto: Douglas Uggah Embas Official

Pada majlis itu, enam pelajar menerima Insentif Pendidikan Anak Bukit Saban selepas berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, terdiri daripada seorang pelajar peringkat diploma dan lima pelajar peringkat ijazah sarjana muda.

Dalam pada itu, Uggah berkata, golongan belia yang telah bekerja juga perlu melihat ruang ekonomi yang sedang berkembang di Sarawak serta melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan.

“Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menyediakan banyak peluang dan mereka perlu bersedia dengan kemahiran yang sesuai untuk mengambil bahagian dalam perkembangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bersama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, pihaknya akan terus memberikan komitmen bagi membantu anak-anak muda mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

“Kita akan terus membantu anak-anak muda kita mengikut kemampuan yang ada supaya mereka dapat maju dan berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Program berkenaan menghimpunkan seramai 80 belia, terdiri daripada 50 peserta dari Bukit Saban yang menyertai program lawatan serta 30 belia asal Bukit Saban yang kini menetap di Kuching untuk melanjutkan pengajian atau bekerja.

Program lawatan sambil belajar selama tiga hari anjuran Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban itu turut merangkumi sesi taklimat berkaitan pemasaran digital dan kecerdasan buatan (AI) di Yahos School of Skill Metrocity, selain aktiviti sukan dan rekreasi.

Oleh Adi Safarman