KUCHING: Sambutan Maulidurrasul bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk umat Islam menghayati dan mengamalkan nilai serta akhlak Baginda dalam kehidupan seharian.
Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim berkata, kemajuan sesebuah ummah bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, teknologi dan ekonomi, tetapi turut memerlukan kekuatan ilmu, akhlak, disiplin, amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Begitu juga dengan kemakmuran. Masyarakat yang makmur ialah masyarakat yang mengambil berat tentang jiran, menjaga keluarga dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidurrasul 1448H/2026M bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’, anjuran Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching di Surau Darul Rahman, RPR Fasa 2, Jalan Batu Kawa, di sini, hari ini.

Menurutnya, nilai amanah, keadilan, kasih sayang, kesabaran dan sikap saling menghormati yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW perlu terus dijadikan panduan dalam kepimpinan dan kehidupan bermasyarakat.
Beliau turut menekankan peranan Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat Sarawak supaya terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Walaupun kita berbeza, kita telah lama hidup bersama, bekerja bersama, saling menziarahi dan membantu antara satu sama lain. Inilah semangat Segulai Sejalai yang mesti terus kita pertahankan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dengan memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan fitnah, salah faham dan perpecahan.
Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan membimbing generasi muda supaya berjaya dalam pendidikan, kerjaya, keusahawanan, sukan dan teknologi, di samping memiliki iman, akhlak, disiplin serta rasa tanggungjawab.
“Ilmu tanpa akhlak tidak mencukupi, dan kemajuan tanpa nilai juga tidak mencukupi,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




