SERIAN: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian hari ini dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata lawatan itu menjadi platform kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak untuk menyampaikan amanat dan hala tuju kepimpinan kepada warga IPD Serian, selain memperkukuh semangat kerjasama serta komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Lawatan bermula dengan pemeriksaan kawalan kehormatan, diikuti persembahan tarian selamat datang, sesi menandatangani Buku Lawatan dan sesi bergambar.
Zainal kemudian menghadiri sesi taklimat di Bilik Mesyuarat IPD Serian yang merangkumi taklimat oleh Freddy, sebelum menyampaikan amanat dan penekanan kepada seluruh warga IPD Serian.

Program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari di Dewan Pengaman IPD Serian, diikuti persembahan tarian kebudayaan serta penyampaian sumbangan bakul makanan dan cenderahati kepada sembilan balu pesara polis.
Freddy berkata, lawatan itu turut memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping memperteguh komitmen pasukan untuk terus memberikan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak SAC Zulkipli Suhaili, Ketua Cawangan Khas Sarawak SAC Mahbub Mustofa Norsalim, KJKDNKA Sarawak SAC Ku Mashariman Ku Mahmood, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ACP Mohd Ishak Yaakob serta Pegawai Pengangkutan Jabatan Logistik dan Teknologi DSP Aleng Lamat.
Oleh Connie Chieng




