Sembilan prospek diberi peluang bina kehidupan baharu menerusi PBSL Madani Yakin

Facebook
WhatsApp
SERAMAI sembilan prospek diberi peluang memulakan lembaran baharu menerusi PBSL Madani Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2026 di Penjara Pusat Sri Aman, hari ini. Foto Penjara Pusat Sri Aman

SIMANGGANG: Seramai sembilan prospek diberi peluang memulakan lembaran baharu menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2026 di Penjara Pusat Sri Aman, hari ini.

Program yang berlangsung pada 10.30 pagi di Dewan Serbaguna Penjara Pusat Sri Aman itu memberi peluang kepada prospek terpilih untuk menjalani proses pelepasan secara lesen melalui penempatan bersama keluarga dan majikan.

Menurut kenyataan media Penjara Pusat Sri Aman, daripada sembilan prospek terbabit, enam orang diserahkan kepada keluarga masing-masing bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan bersama keluarga serta menerima sokongan sosial yang sewajarnya.

Sementara itu, tiga lagi prospek diserahkan kepada majikan masing-masing untuk meneruskan pekerjaan, sekali gus membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil selepas menjalani hukuman.

Program berkenaan turut merangkumi sesi taklimat dan penerangan mengenai syarat-syarat PBSL kepada Orang Berlesen (OBB), selain proses serah menyerah prospek kepada keluarga dan majikan.

Sesi tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penjara Pusat Sri Aman, TPP Awang Azizzan Hasbi.

Pelaksanaan PBSL berkenaan memperlihatkan usaha berterusan Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan ruang pemulihan dan reintegrasi sosial kepada prospek, khususnya melalui sokongan keluarga serta peluang pekerjaan.

Inisiatif itu juga diharap dapat membantu prospek menyesuaikan diri semula dengan masyarakat, membina kehidupan lebih teratur dan seterusnya menyumbang secara positif kepada keluarga serta komuniti selepas menjalani hukuman.

Oleh Adi Safarman