Ceramah Maulidur Rasul kukuh kecintaan masyarakat Kabong kepada Rasulullah SAW

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan daripada YADIM Sarikei pada Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Masjid Assabirin, Kabong, malam tadi. Foto ADUN Kabong

KABONG: Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Kabong disemarakkan dengan pengisian kerohanian menerusi ceramah khas di Masjid Assabirin, Kabong, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, turut menghadiri program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat setempat.

Ceramah sempena sambutan itu disampaikan oleh Daie Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarikei, Atta Mostapha, yang mengupas pelbagai aspek berkaitan keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW.

Dalam ceramahnya, beliau mengajak umat Islam meneladani keperibadian Rasulullah SAW serta menjadikan kehidupan baginda sebagai contoh terbaik dalam membentuk kehidupan berlandaskan ajaran Islam.

Penghayatan terhadap sunnah Rasulullah SAW turut ditekankan sebagai asas penting dalam membina masyarakat yang mempunyai nilai murni, saling menghormati serta mengutamakan keharmonian dalam kehidupan seharian.

DATO Mohd Chee Kadir mendengar ceramah khas sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Masjid Assabirin, Kabong, malam tadi. Foto ADUN Kabong

Program berkenaan merupakan antara pengisian Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong.

Penganjuran program itu bertujuan menyemarakkan rasa cinta dan kasih sayang umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai perjuangan serta ajaran baginda.

Selain pengisian keagamaan, sambutan tersebut turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.

Semangat kebersamaan yang dizahirkan menerusi program seumpama itu dilihat penting dalam membentuk komuniti yang saling menyokong, khususnya dalam usaha memelihara keharmonian serta nilai kehidupan bermasyarakat.

Sambutan Maulidur Rasul di Kabong diharap terus menjadi wadah untuk menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW serta mendorong masyarakat mengamalkan akhlak mulia dan sunnah baginda dalam kehidupan seharian.

Oleh Adi Safarman