SIBU, 11 Oktober: Masyarakat perlu mengubah persepsi terhadap golongan cacat penglihatan dengan mengiktiraf kebolehan dan potensi mereka, bukannya hanya tertumpu kepada keterbatasan yang dihadapi.
Presiden Persidangan Tahunan Cina Sarawak (SCAC) Gereja Methodist, Reverend Dr Lau Hui Ming berkata, penglihatan sebenar bukan sekadar kemampuan mata melihat, tetapi turut melibatkan keupayaan mengenal pasti potensi dan peluang dalam diri seseorang.
Menurutnya, golongan cacat penglihatan wajar dilayan dengan penuh rasa hormat dan diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka, bukannya sekadar menerima simpati masyarakat.

“Sudah tiba masanya kita mengubah cara pandang kerana penglihatan sebenar bukan hanya mengenai apa yang dapat dilihat oleh mata, tetapi bagaimana kita melihat kemungkinan di sebalik keterbatasan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka serta Pesta Makanan dan Pesta Ria Ke-48 Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (PBOBS) Bahagian Sibu di Jalan Bukit Lima, hari ini.
Lau berkata, pusat berkenaan sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam memberikan harapan, memupuk keyakinan diri, menggalakkan kehidupan berdikari serta memperkasakan golongan cacat penglihatan.
Katanya, pusat itu bukan sekadar menyediakan bantuan, malah turut memelihara maruah individu, mengembangkan kebolehan dan memperkasakan mereka untuk menjalani kehidupan lebih bermakna.
Beliau menegaskan bahawa keprihatinan terhadap golongan memerlukan tidak seharusnya terhenti pada perasaan simpati, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan termasuk sumbangan masa, tenaga dan kewangan, selain khidmat sukarelawan.
“Persoalan yang lebih penting bukanlah mengapa perkara itu berlaku, tetapi bagaimana kita boleh membantu, berjalan bersama mereka, memudahkan kehidupan serta menghapuskan halangan yang dihadapi,” katanya.
Lau menyifatkan penganjuran program itu sebagai manifestasi semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat apabila pertubuhan kebajikan, sektor korporat, penderma, sukarelawan serta orang ramai berganding bahu menjayakannya.
Beliau berharap Pusat Orang Buta Sibu akan terus menjadi institusi yang membawa harapan, memelihara maruah dan menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan cacat penglihatan untuk menjalani kehidupan yang berdikari serta bermakna.
Dalam pada itu, sebanyak 21 gerai menjual pelbagai barangan keperluan mengambil bahagian dalam program tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datin Sri Judy Lau dan Pengerusi PBOBS Cawangan Sibu, Clarence Ting.
Oleh Akun Giman




