TANJUNG MANIS: Masjid Al-Haj di Kampung Jerijeh baharu yang dirasmikan hari ini berperanan sebagai platform pembangunan inklusif modal insan serta pusat kegiatan sosial khidmat masyarakat dan pendidikan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelbagai program dapat dilaksanakan seperti aktiviti kebajikan, penyebaran ilmu, tazkirah, aktiviti bantuan kepada masyarakat yang bertujuan mengeratkan silaturahim dari pelbagai peringkat.
“Dengan reka bentuk moden dan kelengkapan yang ada, diharapkan masjid ini dapat memberi keselesaan kepada masyarakat, sehingga mereka dapat terlibat secara aktif dalam pelbagai program yang bermanfaat bagi mengimarahkan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Masjid Al-Haj di Kampung Jerijeh, hari ini.
Majlis perasmian masjid baharu itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kerohanian, tetapi juga untuk membina insan yang cemerlang dalam kehidupan dunia dan akhirat.
“Melalui inisiatif ini diharap dapat melahirkan generasi pelapis yang memiliki ilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan berdaya saing.
“Diharap masjlid ini juga dapat ditadbir dengan baik sekali gus menjaga kemuliaannya dan prasarana yang ada sejajar dengan masjid sebagai mercu tanda agama Islam,” kata beliau.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohamad Sanusi; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.
Oleh Akun Giman & Tarani Lanting