
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus dilaksanakan dengan cekap bagi memenuhi keperluan infrastruktur masyarakat luar bandar, selaras dengan usaha membangunkan Sarawak secara menyeluruh.
Projek RTP bernilai RM50,000 bagi menaik taraf prasarana Masjid Al-Falah, Sungai Gemuan telah siap lebih awal daripada jadual asal, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Penyerahan projek siap di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei tersebut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dalam satu upacara ringkas penyerahan tapak projek, hari ini.
Beliau memuji kecekapan pihak kontraktor serta JKR dalam memastikan projek tersebut bukan sahaja memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, malah siap lebih awal daripada tarikh akhir yang dijadualkan pada 1 Mei depan.
“Projek ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan menambah baik kemudahan di kawasan DUN Meradong.
“Saya amat menghargai usaha pihak JKR dan kontraktor yang dilantik kerana berjaya menyiapkan projek ini lebih awal daripada jadual,” katanya ketika ditemui media.
Beliau turut berharap agar kemudahan yang telah dinaik taraf ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga masjid memandangkan sebelum ini infrastruktur masjid berada dalam keadaan usang dan memerlukan penyelenggaraan segera.
Turut hadir, Penolong Pegawai Senibina JKR Bahagian Sarikei, Siti Nursalmah Masuni, Pemanca Yii Hee Sieng dan Ketua Kampung Rabaee Mat.
Oleh Earl Anek