
PETALING JAYA: Selepas mencipta detik gemilang sebagai juara AJL ke-39, Marsha Milan terus melakar sejarah dengan pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa.
Terbaharu, Marsha menawan perhatian dunia apabila wajahnya menghiasi billboard ikonik di Times Square, New York pada 18 April 2025, sebagai duta EQUAL Asia oleh Spotify bagi April 2025.
Kejayaan ini sekali gus meletakkan Marsha sebagai wajah utama playlist EQUAL Singapore & Malaysia, yang menampilkan dua lagu hit beliau iaitu Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.
Sebagai info, Duta EQUAL merupakan inisiatif global oleh Spotify untuk memupuk kesamarataan jantina dalam industri muzik, dengan memberi tumpuan kepada bakat, pencapaian, dan suara wanita dari seluruh dunia.
Marsha yang menerima berita gembira ini sangat teruja dan sukar mempercayainya. “Over the moon! Ini merupakan kali pertama saya, dan saya sangat bersyukur. Saya fikir peluang seperti ini hanya mimpi, tapi alhamdulillah, ia kini menjadi kenyataan. Sejak dulu, saya impikan untuk muncul di billboard, dan akhirnya, gadis dari bandar kecil di Sabah ini mendapat peluang itu.”
Berkongsi pendapat dan harapannya selepas pengiktirafan ini, Marsha berkata, “Saya tak ada strategi khusus untuk dipilih lagi, tapi saya percaya lagu yang baik memang akan dihargai. Harapan saya, pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai komposer berbakat untuk terus menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti.”
Bagi seseorang yang telah hampir dua dekad dalam industri, Marsha percaya perkara utama untuk bertahan adalah keikhlasan, disiplin, dan keinginan untuk terus belajar. “Industri ini memang sentiasa berubah, jadi kita pun kena sentiasa berkembang, tapi jangan sampai hilang identiti. Bagi saya, hubungan yang baik dengan team dan penyokong sangat penting. Jalan ini memang ada turun naik, tapi kalau kita buat dengan niat yang betul, insya-Allah peluang tu akan datang juga,” katanya.
Berita gembira lagi untuk diraikan. Marsha Milan juga telah dipilih oleh KBS World Korea sebagai salah seorang artis yang akan membuat persembahan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang akan berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun ini.
Dibawakan ke Kuala Lumpur dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund, Marsha pastinya berbesar hati diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini, sebaris dengan nama-nama besar serantau dalam meraikan muzik dan bakat ASEAN.
Strim playlist EQUAL Singapore & Malaysia sekarang dan hayati keindahan vokal Marsha yang memikat telinga anda! Nantikan juga maklumat lanjut mengenai Festival ROUND untuk peluang menyaksikan Marsha beraksi secara langsung!
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.