DUBLIN, Ireland: Kumpulan rock terkenal Ireland, U2, mendedahkan judul album baharu mereka, Carnaval de Luz, beberapa hari menjelang ulang tahun ke-50 pertemuan pertama mereka ketika masih bersekolah di Dublin pada 1976.
Dalam satu podcast, vokalis utama Bono mengesahkan khabar yang telah lama tersebar bahawa mereka bakal menerbitkan album studio ke-15, sekali gus menggembirakan peminat yang dijadualkan menghadiri acara sambutan ulang tahun berkenaan hujung minggu ini di ibu negara Ireland itu.
“Saya tidak boleh mengatakannya. Saya akan mengatakannya,” kata Bono secara berseloroh dalam podcast Irish Times yang mengimbas kembali perjalanan kerjaya mereka.
“Album baharu itu berjudul Carnaval de Luz… ia sangat hebat,” kata Bono ketika mengimbas kembali penubuhan kumpulan empat anggota itu di kediaman pemain dram, Larry Mullen.
Detik bersejarah dalam dunia muzik rock itu pada 25 September 1976 akan diraikan menerusi acara U250 anjuran peminat di Dublin hujung minggu ini, selain penerbitan syiling dua euro baharu oleh Bank Pusat Ireland pada Jumaat.
Album baharu dan ulang tahun setengah abad itu menyerlahkan ketahanan salah satu eksport muzik terbesar Ireland.
Pencapaian itu turut menimbulkan persoalan mengenai rahsia kejayaan mereka yang membolehkan kumpulan itu bertahan lebih lama berbanding rakan seperjuangan, mengelakkan perpecahan dan terus memenuhi stadium.
Terus Berevolusi
Walaupun mereka hampir tidak mampu memainkan alat muzik ketika latihan pertama semasa remaja dan hampir kehilangan kontrak rakaman selepas sambutan kurang memberangsangkan terhadap album kedua, October, mereka kemudiannya menghasilkan beberapa lagu popular terbesar pada era 1980-an dan 1990-an.
Secara keseluruhan, mereka dianggarkan telah menjual 175 juta album dan kini mempunyai lebih 23 juta pendengar bulanan di Spotify.
“Setiap album, mereka terus memperluas sempadan kreativiti,” kata pemilik Slane Castle di Ireland, Alex Conyngham, kepada AFP.
Kumpulan itu pernah mengadakan persembahan dan rakaman di lokasi berkenaan beberapa kali sepanjang kerjaya mereka.
“Itu sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA mereka. Mereka tidak pernah menjadi kumpulan yang hanya bergantung pada lagu-lagu popular,” katanya.
Album baharu itu, yang pertama sejak Songs of Experience pada 2017, menyusuli pengeluaran beberapa karya baharu tahun ini, termasuk Street of Dreams pada Julai.
Aidan Alcock, pengarah studio rakaman terkenal Windmill Lane di Dublin, tempat U2 merakam album sulung mereka, Boy, serta dua album berikutnya, turut memuji keupayaan kumpulan itu untuk terus berkembang.
“Mereka sentiasa penuh dengan kejutan. Saya fikir itulah yang membuatkan mereka terus bertahan,” katanya kepada AFP.
Bono memberitahu Irish Times bahawa dorongan untuk mencapai kesempurnaan menjadi motivasinya, selain keseronokan meluangkan masa bersama anggota kumpulan.
“Saya rasa ia sentiasa mengenai pemikiran bahawa di sebalik sudut seterusnya mungkin ada lagu yang sempurna atau persembahan yang sempurna… kedengarannya gila untuk dikatakan, tetapi itu masih menjadi ‘ketagihan’ utama kumpulan kami,” katanya kepada akhbar itu.
‘Kuasa Lembut’
U2 yang dianggotai Bono, The Edge, Adam Clayton dan Larry Mullen menjadi simbol kekayaan budaya serta sejarah muzik Ireland, selain antara wajah negara itu yang paling dikenali di peringkat antarabangsa.
Pada pameran yang meraikan 50 tahun kebersamaan mereka di Paris pada Selasa, Duta Ireland ke Perancis, Alison Milton, memuji kumpulan itu sebagai “sebahagian daripada reputasi kami, ‘kuasa lembut’ kami dalam hubungan antarabangsa”.
Kurator pameran, Clement Mathieu, yang juga wartawan majalah selebriti Paris Match, menyifatkan daya tarikan antarabangsa U2 yang luas sebagai hasil rekod lagu popular yang setanding dengan Michael Jackson atau Madonna.
Namun, beliau turut menekankan keperibadian kumpulan itu.
“Ada sesuatu tentang jiwa Ireland dalam diri mereka: ada keghairahan, kasih sayang dan kemarahan. Muzik U2 tidak begitu menonjolkan bunyi Ireland, sebaliknya lebih mencerminkan jiwa dan hati rakyat Ireland,” katanya kepada AFP.
Dengan album baharu itu, U2 hampir pasti akan kembali mengadakan siri konsert di stadium, yang menjadi antara faktor utama daya tarikan mereka yang berkekalan.
“Mereka ialah antara kumpulan persembahan hebat,” kata Conyngham kepada AFP.
“Jika anda menghadiri persembahan U2, anda tidak akan kecewa dari segi tenaga dan komitmen yang mereka berikan. Mereka benar-benar bekerja keras.” – AFP





