LONDON: Taylor Swift pada Rabu mengumumkan pelancaran album versi lanjutan “The Life Of A Showgirl” yang akan menampilkan empat lagu baharu, lapor PA Media/dpa.
Penyanyi berusia 36 tahun itu berkata lagu baharu berkenaan ditulis selepas album itu mencatat jualan minggu pertama terpantas dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), dengan empat juta unit setara album terjual.
Swift kemudian ke Sweden untuk meraikan pencapaian itu bersama penerbit muzik Max Martin dan Shellback, yang nama sebenarnya Karl Schuster, sebelum merakamkan lagu-lagu baharu berkenaan di sana.
Beliau berkata kunjungannya ke Sweden pada asalnya hanya untuk meraikan pencapaian itu bersama Martin dan Shellback, namun kewujudan studio di lokasi berkenaan mendorong mereka untuk menulis lebih banyak lagu.
Swift berkata empat lagu baharu itu tercetus daripada rasa penghargaan terhadap sambutan dan sokongan peminat terhadap album berkenaan.
The Life Of A Showgirl: The Encore, yang mengandungi empat lagu baharu, akan dilancarkan pada Jumaat dan kini tersedia untuk prapesanan.
The Life Of A Showgirl, yang dilancarkan pada Oktober 2025 ialah album studio ke-12 Swift dan dirakam ketika jelajah Eras Tour di Eropah pada 2024.
Album itu menjadi album terlaris di dunia pada 2025, manakala album terdahulunya The Tortured Poets Department, merupakan album terlaris pada 2024.
Pengumuman itu dibuat selepas Swift pada Selasa mengumumkan pelancaran single baharu, Patient Zero.
Lagu berkenaan akan dilancarkan pada Jumaat, dengan Swift turut berkongsi imej yang memaparkan dirinya bersandar pada dinding sambil mengenakan baju tanpa lengan hitam berleher tinggi.
Lagu itu merupakan karya pertama Swift sejak beliau berkahwin dengan bintang NFL Travis Kelce di Madison Square Garden, New York City pada Julai. – Bernama-PA Media/dpa





