
MIRI: Sebuah vesel tunda bersama lapan kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas disyaki melanggar Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan yang sah ketika diperiksa di perairan Miri, semalam.
Vesel itu ditahan menerusi Op Permai 01/2019, Op Naga dan Op Tiris 4.0 selepas dikesan sedang bersauh kira-kira 4.6 batu nautika di barat laut Lutong pada 3.40 petang.
Pengarah Maritim Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pasukan pemeriksa menaiki vesel berkenaan kira-kira 4.00 petang bagi menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pelayaran, status kru serta pematuhan kepada peraturan maritim yang berkuat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan lapan kru, termasuk seorang nakhoda, terdiri daripada tiga warga Malaysia, tiga warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan seorang warga India.
“Siasatan awal mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, vesel berkenaan kemudian diiring ke pangkalan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Miri untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mohd Khairol Anuar berkata, pihak Maritim akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerana ia boleh menjejaskan keselamatan pelayaran serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling