Maritim Malaysia nafi CL-415MP terlibat operasi pemadaman di Sumatera

Facebook
WhatsApp
PESAWAT Bombardier CL-415MP milik Maritim Malaysia yang pernah terlibat dalam misi bantuan pemadaman kebakaran hutan di Sumatera pada 2015. Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) menafikan pesawat Bombardier CL-415MP miliknya sedang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah di Sumatera, Indonesia, seperti yang dikaitkan menerusi rakaman tular ketika ini.

Maritim Malaysia dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa tiada pesawat berkenaan sedang diatur gerak atau melaksanakan operasi pemadaman kebakaran di Indonesia.

Sebaliknya, pengoperasian aset udara itu ketika ini ditumpukan kepada penugasan serta pemantauan keselamatan perairan negara.

Hasil semakan mendapati rakaman yang tular itu sebenarnya merupakan rakaman lama yang memaparkan penglibatan pesawat Bombardier CL-415MP Maritim Malaysia dalam misi bantuan pemadaman kebakaran hutan di Sumatera pada 2015.

Sehubungan itu, laporan atau perkongsian yang memberi gambaran bahawa pesawat berkenaan sedang melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah pengeboman air (water bombing) di Sumatera ketika ini adalah tidak tepat.

Maritim Malaysia berkata, penyebaran rakaman lama tanpa konteks serta tarikh sebenar berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai serta pihak media turut digesa menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman terlebih dahulu sebelum menyiarkan atau berkongsinya bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Maritim Malaysia memaklumkan bahawa sebarang penugasan atau pengaturan gerak asetnya bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan atau pengurusan bencana di luar negara akan diumumkan menerusi saluran rasmi sekiranya berkenaan.