KUCHING: Sebuah keluarga mangsa kebakaran yang terdiri daripada sembilan orang ahli menerima bantuan berjumlah RM10,150 daripada Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) semalam.
Menterinya, Dato’ Sri Fatimah Abdullah hadir menyampaikan sendiri bantuan berupa makanan sebanyak sembilan set yang bernilai RM450 setiap set serta cek berjumlah RM9,700 yang merangkumi bantuan wang saku, pakaian harian, pakaian sekolah, peralatan sekolah, kelengkapan tidur, peralatan dapur dan bantuan bahan binaan.
Dalam kejadian kebakaran pada malam 24 Jun lalu, rumah separa konkrit 2 tingkat milik Shamsu Kawie dan keluarganya di Kampung Semerah Padi telah terbakar 100 peratus.
Shamshu, 66, mempunyai tiga orang anak dan kini hanya mengharapkan sumber pendapatan daripada anak sulung beliau yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan selain menolong isteri menjual kuih-muih.
“Bantuan ini adalah di bawah Skim Bantuan Bencana yang baharu yang diperkenalkan pada 2017 dan dibiayai sepenuhnya dari peruntukan Kerajaan Sarawak.
“Bantuan ini diberi kepada mangsa kebakaran, banjir, ribut, tanah runtuh, kemarau dan bencana lain yang boleh menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mangsa.
“Ia bertujuan meringankan beban serta pemulihan secara sementara dan bukannya sebagai pampasan ke atas kerugian yang dialami oleh mangsa kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Kebakaran di Kampung Semerah Padi, di sini, semalam.
Fatimah turut mendedahkan bahawa pada 1 Julai lalu, Kuching telah mencatatkan sebanyak 35 kes bencana dan jumlah peruntukan sebanyak RM207,977.80 untuk membantu mangsa.
Selain itu, Bau mencatatkan hanya dua kes dengan bantuan bantuan bernilai RM14,950 sementara Lundu dengan satu kes dan menerima bantuan bantuan bernilai RM8,450.
Dalam perkembangan berlainan, Fatimah juga berkongsi mengenai pelbagai bantuan yang diperkenalkan di bawah kementerian seperti Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Tahunan Khas (GTK) untuk institusi pembelajaran awal kanak-kanak, Kad Emas Kenyalang (KGC) dan Kematian Bantuan Pengasih (BIK) dan juga bantuan khas untuk pesakit buah pinggang.
Turut hadir, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali