

SARIKEI: Sebanyak RM422,000 diperuntukkan kepada 92 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengurus Sekolah serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Sarikei dan Bintangor menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong aktiviti tahunan mereka.
Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menjelaskan, peruntukan tersebut diberikan bagi memastikan setiap penerima dapat melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Sebanyak 49 PIBG, Lembaga Pengurus Sekolah dan NGO di Sarikei menerima peruntukan MRP berjumlah keseluruhan RM219,500, manakala 43 penerima di Bintangor menerima peruntukan MRP berjumlah keseluruhan RM202,500.
“Diharapkan peruntukan ini dapat membantu mereka menjalankan aktiviti dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan peruntukan MRP di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Sarikei, semalam.
Beliau turut mengingatkan penerima agar menggunakan peruntukan tersebut dengan penuh tanggungjawab dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati secara optimum.
“Saya berharap peruntukan MRP ini digunakan dengan baik dan memberi impak positif kepada pendidikan serta kebajikan masyarakat di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak pernah menganak tirikan mana-mana NGO.
“Sebaliknya, peranan setiap NGO sentiasa diiktiraf oleh kerajaan.
“NGO merupakan rakan strategik kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan cabaran di hadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Oleh itu, saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan serta berkerjasama dengan NGO pada masa akan datang,” ujarnya.
OLEH EARL ANEK