
KUCHING: Rundingan berterusan mengenai hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar retorik, sebaliknya satu perjuangan yang memerlukan ketekunan dan keazaman tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, menegaskan bahawa kerajaan negeri terus memperhalusi pelbagai aspek dalam usaha mengukuhkan hak Sarawak.
“Perjuangan ini bukan sesuatu yang mudah dan menuntut komitmen penuh dari semua pihak.
“Banyak perkara telah kita capai dalam tempoh empat bulan ini, tetapi masih ada isu yang perlu diperincikan dan dibincangkan secara mendalam.
“Ini satu perjalanan panjang. Rundingan ini tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia melibatkan pelbagai aspek penting bagi Sarawak.
“Kita akan terus berbincang dengan kerajaan Persekutuan dan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 di Wisma Sabati, di sini, hari ini.
Dalam suasana perayaan, rumah terbuka Aidilfitri Sharifah Hasidah turut menjadi tumpuan apabila ia dihadiri oleh ramai tetamu dari pelbagai latar belakang.
Katanya, majlis seperti ini bukan sekadar perayaan tetapi lambang perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Alhamdulillah, sambutan sangat meriah. Kehadiran orang ramai membuktikan kita semua menghargai hubungan erat antara satu sama lain.
“Kita lihat rumah terbuka anjuran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di BCCK juga penuh dengan kehadiran rakyat dari pelbagai kaum dan agama. Ini menunjukkan semangat muhibah yang cukup luar biasa di Sarawak.
“Inilah keunikan kita di Sarawak. Aidilfitri bukan sekadar sambutan kaum tertentu, tetapi diraikan bersama sebagai satu keluarga besar,” tambahnya.
Terdahulu, Premier Sarawak turut hadir memeriahkan rumah terbuka Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain.
Ketibaan beliau bersama isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, pada 3.10 petang disambut mesra oleh tuan rumah sekeluarga.
Suasana rumah terbuka itu penuh dengan kehangatan silaturahim, dimulakan dengan sesi bergambar sebelum para tetamu menikmati hidangan istimewa Aidilfitri.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta tetamu lain.