
BERLIN, Jerman: Syarikat penerbangan Lufthansa memaklumkan pihaknya sedang mengesan trofi Academy Awards milik pembikin filem Rusia, Pavel Talankin, yang dilaporkan hilang selepas insiden keselamatan di lapangan terbang Amerika Syarikat.
Menurut portal industri filem Deadline, Talankin tidak dibenarkan membawa patung Oscar itu menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada Rabu.
Pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) berpendapat trofi berkenaan berpotensi digunakan sebagai senjata, menyebabkan beliau terpaksa mendaftar masuk barangan itu ke ruang kargo dalam kotak kadbod.
Namun, setibanya di Frankfurt, trofi tersebut didapati hilang.
“Kami amat kesal dengan kejadian ini dan sedang menjalankan pencarian dalaman secara menyeluruh bagi memastikan trofi itu ditemui serta dipulangkan segera,” menurut kenyataan Lufthansa.
Talankin, 35, mencipta sensasi apabila memenangi Oscar bagi kategori Dokumentari Terbaik bersama pembikin filem Amerika Syarikat, David Borenstein, pada Mac lalu.
Filem Mr Nobody Against Putin memaparkan rakaman yang diseludup keluar dari Rusia mengenai pelaksanaan kelas patriotik pro-perang di sekolah di bawah Presiden Vladimir Putin susulan konflik di Ukraine.
Talankin berkata, beliau sebelum ini telah menaiki sekurang-kurangnya sedozen penerbangan dengan membawa trofi tersebut tanpa sebarang masalah.
“Sukar difahami bagaimana Oscar dianggap sebagai senjata,” katanya.
Menurut laporan itu, cadangan ejen Lufthansa untuk membantu membawa trofi berkenaan hingga ke pintu pelepasan turut ditolak oleh pegawai TSA. – AFP