Lubok Antu terus rekod IPU tertinggi di Sarawak

Facebook
WhatsApp
BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Sarawak setakat 4.00 petang hari ini, dengan Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi 466 pada tahap sangat berbahaya.

KUCHING: Lubok Antu terus merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan bacaan 466 pada tahap sangat berbahaya setakat 4.00 petang hari ini.

Bacaan itu bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding 470 yang dicatatkan pada 12.00 tengah hari.

Serian mencatat bacaan kedua tertinggi iaitu 385 pada tahap berbahaya, manakala Lundu turut berada dalam kategori sama dengan bacaan 318.

Enam kawasan pula berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching dengan bacaan 285, Sri Aman (278), Samarahan (273), Tebedu (257), Sarikei (210) dan Kanowit (202).

Sementara itu, Betong mencatat IPU 199, diikuti Sibu (180), Mukah (171), Bintulu (168), Samalaju (165), Kapit (159), Lawas (156), ILP Miri (153), Limbang (151), Bario (115) dan Miri (104), yang kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.

Secara keseluruhan, daripada 20 lokasi yang disenaraikan, satu mencatat tahap sangat berbahaya, dua berbahaya, enam sangat tidak sihat dan 11 lagi tidak sihat.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 201 hingga 300 diklasifikasikan sebagai sangat tidak sihat, manakala 301 hingga 400 berada pada tahap berbahaya.

Bacaan antara 401 hingga 500 pula dikategorikan sebagai sangat berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam.

IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.