MENJAWAB SOALAN… Dato Henry Sum Abong ketika memberi jawapan mengenai isu e-Hailing di Dewan
Negara.
LAWAS: Lonjakan kadar tambang e-hailing dan mekanisma yang dilaksanakan bagi mewujudkan persaingan sihat dan adil bagi memberi pilihan kepada pengguna.
Timbalan Menteri Pengangkutan(MOT) Dato Henry Sum Agong yang menjawab soalan berhubung isu mengenai lonjakan harga tambang mendapati ianya berpunca daripada peningkatan mendadak permintaan orang ramai ke atas perkhidmatan e-hailing, susulan kepada pembukaan sektor ekonomi dan sosial apabila negara beralih kepada fasa endemik selepas pandemik COVID-19 yang lalu.
Sepanjang tempoh pandemik, ramai pemandu e-hailing yang tidak meneruskan pekerjaan menjadikan jumlah pemandu yang aktif berkurangan di pasaran. Apabila sektor ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti sedia kala, orang ramai telah kembali bekerja sepenuhnya menyebabkan kurangnya jumlah perkhidmatan penawaran (atau jumlah perkhidmatan) berbanding permintaan oleh orang ramai, terutamanya di waktu puncak.
Henry Sum yang menjawab soalan di Dewan Negara pada Isnin memberitahu konsep operasi perkhidmatan e-hailing adalah secara persetujuan bersama di antara penumpang dan pembekal perkhidmatan.
Penumpang boleh membuat tempahan kepada mana-mana pembekal perkhidmatan e-hailing dan boleh sama ada bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan perkhidmatan yang akan ditawarkan, termasuk dengan kadar tambang yang dikenakan. Sekiranya penumpang tidak bersetuju dengan perkhidmatan yang ditawarkan, maka penumpang boleh memilih mod pengangkutan yang lain seperti teksi.
MOT menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak akan sentiasa memantau perkara ini dari masa ke semasa. Sekiranya didapati terdapat kes di mana penyedia perkhidmatan mengenakan kadar tambang yang tidak munasabah atau menindas orang ramai, MOT dan agensi akan menyiasat dan akan mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukkan di bawah undang-undang.
Oleh ADENG EDRUS