MALUDAM: Loji Rawatan Air Maludam yang bernilai RM25.4 juta itu bakal beroperasi hujung Oktober nanti.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata loji yang bakal menambah baik sistem bekalan air ke kawasan Beladin itu kini dalam fasa akhir.
Katanya, loji sistem akut berkapasiti lima juta liter sehari itu turut mencakupi pemasangan saluran paip baharu dari loji ke stesen pam penggalak Spinang.
“Ia akan memberi manfaat kepada lebih kurang 6,330 orang pelanggan sedia ada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di kawasan Beladin, Pusa.
“Maludam merupakan kawasan yang mempunyai sumber air banyak, oleh Itu wajar loji tersebut dibuat di kawasan Maludam untuk menampung bekalan air bagi kawasan sekitarnya,” katanya semasa mengadakan lawatan ke loji rawatan air itu, semalam.
Julaihi berkata Premier Sarawak telah bekerja keras untuk mencari dana bagi membangunkan Sarawak khususnya di kawasan Batang Lupar.
“Terdapat beberapa jambatan yang akan siap dan kesemuanya menggunakan duit kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor serta Pengarah JBALB Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.