SARIKEI: Sebatang pokok yang tumbang akibat hujan lebat menghempap bahagian belakang atap sebuah rumah di Jalan Ixora.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei menerima panggilan kecemasan daripada pengadu pada 9.00 pagi semalam.
“Menurut maklumat daripada pengadu, sebatang pokok telah tumbang di atap rumah pengadu akibat hujan lebat yang melanda pada petang kelmarin.

“Bimbang dengan keselamatan keluarga, pengadu terus menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah Sarikei untuk meminta bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Operasi, Leftenan Muda (PA) Muhd Saizun Amiruddin Othman bersama lima anggota APM Sarikei.
“Pasukan APM Sarikei tiba di lokasi pada 9.49 pagi dan melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti keadaan pokok dan memastikan kerja pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Didapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap atap di bahagian belakang rumah pengadu.
“Tiada kerosakan pada rumah pengadu yang diakibatkan pokok tumbang tersebut,” katanya.
Tambahnya, anggota APM Sarikei kemudian menjalankan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang.
“Pokok tersebut telah berjaya dipotong dan kawasan sekitar sudah dibersihkan.
“Operasi mengambil masa kira-kira dua jam setengah dan selesai sepenuhnya pada 12.25 tengah hari,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





