Loji jana kuasa Miri CCGT capai 63 peratus siap, operasi dijangka akhir 2027

Facebook
WhatsApp
ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, ketika mengemukakan pertanyaan lisan pada persidangan DUN Sarawak di Kompleks DUN, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 13 Oktober: Projek Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri bernilai RM2.5 bilion telah mencapai 63 peratus kemajuan setakat suku ketiga 2026, dengan operasi komersial dijangka bermula menjelang akhir 2027.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, projek itu merupakan antara infrastruktur penting dalam pembangunan Miri sebagai hab gas strategik di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).

Menurut beliau, kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sedang membangunkan hab berkenaan bagi mewujudkan ekosistem gas dan tenaga bersepadu yang menyokong industri hiliran, perkhidmatan minyak dan gas serta aktiviti ekonomi berasaskan gas di utara Sarawak.

Apabila beroperasi, loji CCGT Miri dijangka menggunakan kira-kira 75 hingga 80 juta kaki padu standard gas asli sehari bagi menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil dan cekap untuk utara Sarawak.

Kapasiti tambahan itu, disokong akses yang lebih luas kepada gas keluaran tempatan, dijangka meningkatkan daya tarikan Miri sebagai destinasi pelaburan dalam sektor hiliran, industri berasaskan gas dan perkhidmatan berkaitan tenaga.

Selain loji berkenaan, pembangunan Hab Miri turut disokong rangkaian infrastruktur bersepadu yang merangkumi pengeluaran gas huluan dan daratan, kemudahan penerimaan gas, fasiliti gas asli cecair (LNG) berskala kecil serta pengangkutan LNG menggunakan lori.

Petros melalui Pengagihan Gas Sarawak (SGD) juga sedang memperluas rangkaian pengagihan gas domestik di Miri. Ketika ini, SGD membekalkan gas berpaip kepada 1,362 pelanggan komersial dan empat pelanggan industri.

Peluasan rangkaian itu dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti komersial, perindustrian dan hiliran, selain membuka peluang pelaburan merentasi rantaian nilai gas dan tenaga, termasuk aktiviti hiliran minyak dan gas, perkhidmatan medan minyak dan gas serta industri berasaskan gas yang lain.

Mengenai insentif pelaburan, kerajaan Sarawak sedang mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pakej insentif pelaburan khusus yang dipertingkatkan untuk pelaburan yang memenuhi syarat di bawah SGR.

Pakej yang dicadangkan itu bertujuan melengkapi insentif Persekutuan sedia ada serta menyokong pelaburan merentasi keseluruhan rantaian nilai gas dan tenaga.

Insentif berkenaan dicadangkan berasaskan sasaran dan hasil, dengan mengambil kira nilai pelaburan, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan tenaga kerja Sarawak, pemindahan teknologi dan pengetahuan, penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), penambahan nilai hiliran serta kelestarian.

Perkara itu dimaklumkan ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, mengenai perancangan kerajaan untuk menarik aktiviti hiliran minyak dan gas, syarikat perkhidmatan serta pelaburan susulan pembangunan Miri sebagai hab gas strategik dan permulaan pengeluaran di Adong Kechil West.

Beliau turut menjawab soalan tambahan mengenai status pelaksanaan projek CCGT Miri serta cadangan insentif pelaburan di bawah SGR bagi mengukuhkan kedudukan Miri sebagai hab gas dan tenaga strategik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan pada persidangan DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud

20 kawasan catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR, 13 Oktober: Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat