Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Liverpool lantik Iraola sebagai pengurus baharu
  • SUKAN

Liverpool lantik Iraola sebagai pengurus baharu

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENGURUS baharu Liverpool, Andoni Iraola. Foto AFP

LIVERPOOL: Liverpool pada Khamis mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Andoni Iraola, sebagai pengurus baharu kelab itu selepas memecat Arne Slot susulan kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Iraola segera muncul sebagai calon utama untuk menggantikan Slot yang ditamatkan perkhidmatannya secara mengejut Sabtu lalu selepas dua tahun mengendalikan pasukan itu.

Liverpool tidak mendedahkan tempoh kontrak jurulatih berusia 43 tahun itu, namun media Britain melaporkan beliau menandatangani kontrak selama dua tahun.

“Saya benar-benar teruja kerana semua orang mengetahui Liverpool ialah sebuah kelab besar, malah antara yang terbesar di dunia.

“Namun, selepas mengenali kelab ini dengan lebih mendalam, saya sentiasa merasakan bahawa ia sebuah kelab yang istimewa.

“Tidak banyak yang diperlukan untuk membuatkan seseorang tertarik kepada Liverpool. Liverpool tetap Liverpool.

“Suasana, penyokong, kelab, para pemain serta peluang untuk melatih pemain bertaraf dunia dan bersaing merebut kejuaraan menjadikan tugas ini amat menarik.

“Sukar untuk mencari peluang yang lebih baik daripada ini. Saya tidak sabar untuk memulakannya,” katanya menerusi laman sesawang rasmi Liverpool.

Selepas prestasi hambar Liverpool pada musim kedua Slot di Anfield menerima kritikan hebat, Iraola dijangka membawa corak permainan yang lebih agresif dan berintensiti tinggi, yang pernah menjadi identiti pasukan ketika di bawah kendalian bekas pengurus popular, Jürgen Klopp.

Iraola menerima pujian meluas selepas membawa AFC Bournemouth menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam musim ini, sekali gus melayakkan kelab itu ke pentas Eropah buat kali pertama menerusi Liga Europa.

Beliau menyertai Bournemouth pada 2023 dari Rayo Vallecano selepas sebelum itu pernah mengendalikan CD Mirandés dan AEK Larnaca.

Prestasi Bournemouth meningkat pada setiap musim di bawah bimbingannya dengan menamatkan saingan di tangga ke-12, kesembilan dan keenam.

Bekas pertahanan itu turut dipuji atas kebijaksanaan taktikalnya serta kejayaan membangunkan bakat muda seperti Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.

Mahu Kembalikan Corak Permainan Agresif

Sebelum meninggalkan Liverpool pada penghujung musim, bintang Mesir, Mohamed Salah, secara terbuka menggesa pasukan itu kembali mengamalkan corak “bola sepak heavy metal” yang membawa banyak kejayaan ketika era Klopp, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Slot.

Iraola sebelum ini menyatakan hasrat untuk menerapkan gaya permainan menyerang dengan tekanan tinggi, berbeza daripada pendekatan yang lebih terkawal diamalkan Slot.

Pendekatan itu dijangka menggembirakan penyokong Liverpool.

“Saya hanya mahu menjadi sebahagian daripada anda. Saya mahu memperoleh hak untuk dianggap sebagai salah seorang daripada anda supaya kita dapat menikmati kejayaan bersama-sama,” katanya.

Dilahirkan di wilayah Basque, Sepanyol, Iraola membuat lebih 500 penampilan bersama Athletic Bilbao sebelum beraksi dalam Major League Soccer bersama New York City FC, yang mana beliau bergandingan dengan Frank Lampard dan Andrea Pirlo.

Beliau mengambil alih Liverpool ketika kelab itu berada di persimpangan penting selepas Slot gagal mengekalkan status pasukan tersebut sebagai antara kuasa utama bola sepak England.

Slot berdepan tugas sukar menggantikan Klopp yang meninggalkan Liverpool pada 2024 selepas menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang tempoh sembilan tahun yang gemilang di Anfield.

Bekas pengendali Feyenoord itu memulakan tugas dengan baik apabila membawa Liverpool menjulang kejuaraan liga Inggeris ke-20 yang menyamai rekod pada musim pertamanya, hasil sumbangan 29 gol, Salah.

Namun, beliau gagal menghalang kemerosotan prestasi Liverpool pada musim 2025/26 apabila pasukan itu mula merudum sejak penghujung September dan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.

Kematian penyerang Liverpool, Diogo Jota, dalam kemalangan jalan raya pada Julai tahun lalu memberi kesan besar kepada pasukan itu, manakala perbelanjaan £450 juta (AS$605 juta) untuk membawa masuk pemain baharu gagal memberikan pulangan yang diharapkan.

Hubungan Slot dengan Salah juga dilaporkan semakin renggang, manakala penyokong Liverpool mula hilang kepercayaan terhadap pengurus itu berikutan persembahan hambar dan keputusan yang mengecewakan.

Liverpool menamatkan musim di tangga kelima, ketinggalan 25 mata di belakang juara, Arsenal, namun masih berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik tumbang di pusingan kedua
Next: 3,372 pelari dari 16 negara bakal sertai Maraton Mutiara Borneo 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.