Khazanah Borneo perlu dimanfaatkan untuk angkat taraf hidup rakyat

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari pada majlis perasmian Tilawah al Quran Bandaraya Se-Borneo di Dewan Kompleks Islam Sarawak.

KUCHING, 27 Oktober: Kekayaan sumber alam dan biodiversiti di Kepulauan Borneo perlu dimanfaatkan secara bijaksana bagi meningkatkan taraf hidup penduduk, termasuk membantu golongan miskin keluar daripada belenggu kemiskinan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, khazanah semula jadi yang dimiliki Borneo merupakan anugerah yang perlu dipelihara dan dibangunkan berlandaskan ilmu demi kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, umat Islam perlu menghayati tuntutan al-Quran dengan menuntut ilmu dan mengaplikasikannya dalam pembangunan supaya sumber yang tersedia dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Menurutnya, Borneo memiliki kekayaan biodiversiti dan sumber alam yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup penduduk tanpa mengira latar belakang agama.

Abang Johari berkata, usaha membantu golongan miskin meningkatkan taraf hidup merupakan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap sesama manusia.

“Kalau kita dapat mengangkat kedudukan mereka keluar daripada kemiskinan, maka kita telah dapat menunaikan tanggungjawab kita untuk umat manusia,” katanya ketika berucap pada majlis Tilawah al-Quran Bandaraya Se-Borneo di Dewan Kompleks Islam Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, Sarawak turut mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga memandangkan rangkaian sungainya boleh dimanfaatkan untuk menjana tenaga bagi memenuhi keperluan masyarakat, perniagaan dan ekonomi.

“Borneo banyak sungai, Sarawak pun banyak sungai, dan air yang mengalir di sungai itu boleh menjadi sumber untuk kita menjana tenaga, tenaga yang dikehendaki oleh masyarakat, oleh perniagaan, oleh ekonomi kita.

“Kalau dapat kita bina bersama, sudah tentu tenaga ini dapat menambahkan nilai kepada khazanah kita yang lain termasuklah biodiversitinya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan sektor tenaga itu juga berpotensi menyumbang kepada ASEAN Power Grid, termasuk melalui pembekalan tenaga kepada Kalimantan, Singapura, Semenanjung Malaysia dan negara jiran.

Abang Johari berkata, pengurusan sumber alam berasaskan ilmu dan perancangan teliti penting bagi memastikan kekayaan Borneo dapat dimanfaatkan untuk memacu pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Oleh Shikin Mahmud