SARIKEI: Sebuah kedai runcit di Jalan Meruton/Merudu, di sini telah dirompak oleh lima lelaki bersenjata sekitar jam 4:13 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Aswandy Anis berkata kejadian berlaku ketika mangsa, seorang juruwang, sedang bertugas di kedai runcit tersebut.
“Lima suspek yang tidak dikenali telah memasuki premis dengan menutup muka menggunakan topeng serta kain, dan bersenjatakan parang.
“Salah seorang daripada suspek bertindak meletakkan parang di leher mangsa sebelum menolak mangsa ke bawah meja.
“Kesemua suspek kemudian menggeledah kedai tersebut dan melarikan beberapa barangan yang terdapat di dalam kedai.
“Setelah selesai merompak, mereka melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Honda.
“Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan tersebut disebabkan keadaan yang gelap,” katanya dalam satu kenyataan.
Aswandy berkata jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM3,500.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Pihak polis Sarikei meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Helmi di talian 013-3787194.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian ini.