KUCHING: Polis sedang menyiasat dua kejadian khianat dengan api yang melibatkan objek disyaki mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar di kedai serbaneka di Kuching semalam.
Dua lelaki bertopeng dipercayai terlibat dalam kedua-dua kejadian berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata polis setakat ini menerima dua laporan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, pemilik premis lain yang terjejas tetapi masih belum membuat laporan diminta berbuat demikian dengan segera.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian mempunyai modus operandi yang hampir sama apabila dua suspek lelaki bertopeng dan berpakaian gelap memasuki premis sebelum membaling objek yang dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar ke dalam kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan letupan, kerosakan harta benda dan kebakaran dalam salah satu kejadian. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan.
Mohamad Zainal berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
“Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek, menganalisis bahan yang digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengenal pasti sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan yang tular bahawa kedai serbaneka berkenaan menjual perkhidmatan tambah nilai (top up) untuk judi dalam talian turut akan disiasat.
Katanya, tindakan akan diambil sekiranya terdapat kesalahan, termasuk memohon pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen perniagaan berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Pada masa sama, pemilik premis perniagaan disaran meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Kontinjen Sarawak di talian 082-240 800.
Oleh Connie Chieng





