LIMBANG: Projek Jalan Akses ke Limpaku Pinang bernilai lebih RM170 juta dijangka membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk kampung berkenaan yang selama ini bergantung kepada pengangkutan air untuk urusan harian.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata projek yang dijangka siap pada 2029 itu akan menyediakan akses darat kepada penduduk, selain membuka ruang kepada perkembangan ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.
“Selama ini penduduk Kampung Limpaku Pinang hanya menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama kerana tiada jalan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan kawasan lain.
“Dengan pelaksanaan projek ini, kita berharap ia dapat memberi kemudahan serta meningkatkan tahap perhubungan penduduk dengan kawasan lain di Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembinaan Baharu Jalan Akses ke Limpaku Pinang, Bahagian Limbang, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata kemudahan jalan raya itu bukan sahaja akan memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Menurutnya, kawasan Limpaku Pinang yang mempunyai keindahan alam semula jadi dan landskap menarik turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, kedudukan kawasan itu yang berhampiran sempadan Brunei juga berpotensi menjadikannya sebagai lokasi persinggahan dan tarikan baharu kepada pengunjung.
“Kemudahan jalan raya yang lebih baik juga dijangka membuka ruang kepada penduduk tempatan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi seperti inap desa, produk makanan, kraftangan, perkhidmatan pelancongan dan perusahaan kecil, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Hasbi menggesa pihak kontraktor yang dilantik melaksanakan projek berkenaan mengikut spesifikasi, standard dan tempoh yang ditetapkan bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan penduduk dalam jangka panjang.
“Kita mahu projek ini dilaksanakan dengan baik kerana penduduk sudah lama menantikan kemudahan jalan raya ini.
“Justeru, aspek kualiti, keselamatan dan pematuhan kepada spesifikasi perlu diberi perhatian supaya kemudahan yang dibina dapat memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka panjang,” katanya.
Oleh AdengEdrus




