SIBU: Lima kedai kopi di sekitar bandar ini telah diperiksa dan diberi penarafan gred C oleh pasukan Bahagian Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat, berkata tujuan pemeriksaan ini adalah untuk memastikan tahap kebersihan premis sentiasa terjaga.
“Pemilik premis yang diberi gred C telah diarahkan untuk melakukan penambahbaikan dalam tempoh yang ditetapkan atau mereka akan dikenakan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pemeriksaan itu turut merampas beberapa barangan seperti penyedut minuman plastik, pinggan mangkuk, dan cawan lama dari kedai-kedai kopi berkenaan.
Penilaian kebersihan premis ini, katanya, dilakukan setiap enam bulan sekali, dan sebuah premis turut disiasat secara mengejut berdasarkan aduan orang ramai.
Yiing menambah bahawa walaupun kedai kopi yang menerima penarafan gred C masih dibenarkan beroperasi, pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan ketat untuk memastikan tahap kebersihan dipertingkatkan.
“Kami berharap agar semua kedai kopi di kawasan MPS mencapai sekurang-kurangnya penarafan gred B, jika tidak gred A,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa sehingga kini, sebanyak 700 kedai kopi telah direkodkan di kawasan MPS.
Sebanyak 231 kedai diberi penarafan gred A, 466 kedai diberi gred B, dan lima kedai diberi gred C.
“Orang ramai digalakkan melaporkan kepada MPS jika mendapati mana-mana premis makanan yang mengabaikan tahap kebersihan,” tambahnya.
Oleh TARANI LANTING