Kenapa menyertai politik?
“SAYA datang dari keluarga yang sederhana di kawasan pedalaman di Katibas, Song. Saya menyedari penderitaan yang dialami oleh penduduk di kawasan sehingga kini.”
“Malah sebelum bersara atau sebelum mengenali dunia politik saya berkhidmat atas kapasiti peribadi saya dalam memberikan insentif kepada pelajar gred A, ceramah motivasi, memudahkan kemasukan pelajar ke IPT dan latihan kemahiran.
“Seiring dengan itu, saya sentiasa menyertai pemimpin tempatan semasa program kemasyarakatan mereka kerana keperluan untuk memahami lebih lanjut suasana sosial kita dan pendedahan di kawasan luar bandar dan sentiasa bersetuju untuk menyokong mereka dalam apa-apa perkara yang penting kepada rakyat kita.”
Ia antara luahan, Lidam Assan seorang daripada antara 24 calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N62 Katibas ketika ditemu bual secara eksklusif bersama Utusan Sarawak.
Menurut Lidam, beliau menyertai politik kerana suka menyumbang kepada sesuatu untuk dirunding dan dibincangkan yang kemudiannya bukan sahaja memberi manfaat kepada parti politik, tetapi kepada komuniti dan masyarakat di kawasan.
“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk memasuki politik, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu, dan yakin bahawa ia adalah pilihan yang tepat untuk keperluan untuk berkhidmat kepada komuniti saya melalui platform dan pendekatan yang lebih mampan, dibimbing oleh pemimpin yang baik dan berwawasan terutamanya Dato Sri Alexander nanta Linggi dan Datuk Amar Douglas Uggah,” katanya.
Sekiranya, terpilih jadi wakil rakyat selepas 18 Disember kelak. Lidam memberitahu beliau mahu mendidikasikan usaha untuk mentransformasi luar bandar terutama di kawasan beliau selari dengan usaha mentransformasi luar bandar dan mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Beliau juga mahu mengangkat penduduk di DUN Katibas keluar daripada kepompong kemiskinan dengan mencapai ‘DUA SIFAR’ iaitu sifar kemiskinan dan sifar buta huruf.
“Saya akan memberi tumpuan kepada perkara yang boleh kita lakukan dengan komuniti kita dengan mengeksploitasi sumber asli kita terutamanya pertanian.
“Kami akan menarik belia kami untuk pulang, tetapi kami mesti menyediakan kemudahan dan ketersambungan yang baik. Saya menyeru anak muda kita untuk kembali mencurahkan nilai kepada tanah mereka,” ujarnya.
USAHA PACU PEMBANGUNAN
Dalam memperkasa pembangunan di DUN Katibas, Lidam memberitahu, banyak usaha telah beliau lakukan terutamanya menerusi kapasitinya sebagai Setiausaha Politik.
Menurutnya, DUN Katibas telah dikategorikan sebagai salah satu daerah termiskin di seluruh negeri.
“Peningkatan dalam sosioekonomi kita memberikan ‘rawatan’ utama kepada masalah (kemiskinan) kita. Kita seharusnya mempunyai akses yang lebih baik kepada pendidikan, pendapatan, dan keperluan fisiologi asas lain yang lebih baik untuk keluarga kita. Oleh itu, kita patut mengambil tindakan yang lebih konstruktif untuk membasmi kemiskinan kita,” katanya.
Sehingga kini, pelbagai usaha telah beliau gerakkan untuk mengangkat sosioekonomi penduduk di DUN Katibas, iaitu ternakan ikan di darat, membantu penduduk menanam Kopi Liberika dengan projek printis oleh keluarga Ayong di Nanga Sebuluh dan cuba membawa tanaman koko di Song.
Usaha juga boleh diperkasa untuk menanam kelapa sawit, dengan tanah yang luas masih belum diterokai.
“Selain itu banyak lagi usaha lain akan dilaksanakan untuk membangunkan DUN Katibas dan Song khasnya. Ia termasuk usaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik , kemudahan kesihatan, perumahan dan sebagainya.
“Banyak lagi usaha lain yang perlu dilakukan, seperti memberi fokus kepada usaha untuk mengukur tanah NCR kita dan memberikannya surat hak milik.
“Pada keseluruhannya, saya bertuah kerana diberi peluang untuk bekerja di bawah GPS dan pemimpin berwawasannya. Kita mempunyai sumber yang banyak dikurniakan kepada kita dan untuk maju ke depan, kita harus mengurusnya dengan baik dan berkongsinya secara saksama di kalangan rakyat Sarawak.”