LIMBANG: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang perlu melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan sebagai usaha untuk mendapatkan dana pertubuhan itu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail memberitahu PERKIM Cawangan Limbang wajar meluaskan program keagamaan dan dakwah dengan menceburi sektor ekonomi, keusahawanan dan perniagaan.
“Kita mesti kreatif untuk berniaga dan menjual produk melalui aplikasi media sosial seperti Shopee, Lazada, TikTok dan platform media sosial lain untuk mendapatkan dana.
“Selain itu saya melihat potensi bidang inap desa dan kraf tangan yang boleh diterokai PERKIM Limbang,” katanya pada majlis penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Cawangan Limbang Ke-35 di Dewan Kampung Bunga Raya Limbang, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata lagi selain mencari dana, ahli-ahli PERKIM Limbang perlu fokus turun ke lapangan dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang anasir negatif.
Beliau bangga PERKIM Cawangan Limbang berjaya melunas tugas, amanah dan tanggungjawab yang disandarkan kepada PERKIM sebagai badan dakwah tersohor di Malaysia.
Pada masa yang sama sejumlah RM500,000 peruntukan yang disalurkan kerajaan untuk membina pejabat PERKIM Cawangan Limbang yang baharu kini dalam proses pembinaan.
Dr. Abdul Rahman memberitahu setakat ini PERKIM Limbang mempunyai lebih 400 keahlian di bawah kepimpinan Dayang Maimunah.
Turut hadir, Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud, penyelaras PERKIM Cawangan Limbang Dayang Noraini Abang Zawawi dan penyelaras Program Hala Tuju PERKIM Sarawak Dato Dr. Sadiah Abdul Samad.
Oleh Adeng Edrus